Tan Sri Khalid Abu Bakar

Bahagian I: Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali kepada pembaca budiman. Selari dengan era transformasi dan kemajuan negara yang pesat membangun, Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPD) yang merupakan antara koperasi yang terawal wujud di negara ini, tidak ketinggalan dalam mempergiatkan usaha meningkatkan taraf sosioekonomi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Salah satu misi KPD adalah memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh ahlinya akan menghasilkan pulangan yang setimpal dengan usaha untuk meningkatkan daya saing dalam dunia perniagaan masa kini.

Ditubuhkan pada 24 April 1928 dengan tujuan membantu mengurangkan bebanan kewangan anggota polis dan kakitangan PDRM, KPD telah membangun daripada sebuah koperasi yang menyediakan urusan pinjam-meminjam semata-mata kepada sebuah konglomerat yang sehingga kini memiliki aset pada nilai buku sebanyak RM689.5 juta.

Ke arah transformasi perniagaan, KPD mewujudkan sebuah syarikat induk yang berstruktur dan berimpak tinggi iaitu KOP Mantap Berhad.

Penubuhan KOP Mantap Berhad amat sejajar dengan fungsinya untuk mengelola dan menyediakan pelan perancangan strategik sebagai pemegang pelaburan saham, ICT, hotel, keselamatan, penyelenggaraan penerbangan, pembinaan, pendidikan, pengangkutan dan pelancongan.

Aktiviti ekonomi ini dipacu oleh 12 anak syarikat yang terdiri daripada:

i. Auxiliary Force Sdn Bhd,

ii. KOP Security Agency Sdn Bhd,

iii. KOP Travel & Tours,

iv. Kuala Lumpur International Hotel,

v. Kolej Unikop,

vi. KOP Construction Sdn Bhd,

vii. KOP Logistic Sdn Bhd,

viii. KOP Aviation Sdn Bhd,

ix. KOP Tradtech Sdn Bhd,

x. KOP Tahira JV Sdn Bhd,

xi. KOP Agrolink Sdn Bhd, dan

xii. KLI Training Centre Sdn Bhd.

AUXILIARY FORCE SDN BHD

Polis Bantuan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PB KPD) ditubuhkan pada 16 Mac 2015 di bawah syarikat Auxiliary Force Sdn Bhd yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir keseluruhan PB KPD.

Berteraskan pengetahuan, kepakaran dan keterampilan di dalam bidang kepolisan, KPD komited untuk melahirkan Polis Bantuan yang berkualiti dengan disokong oleh penggunaan teknologi terkini yang diurus oleh pasukan dan sistem yang terbaik.

Sehingga ke hari ini, PB KPD menyediakan perkhidmatan kepada agensi seperti I-City, ERM dan MIC, serta akan memperluaskan skop khidmatnya kepada Malindo Air.

Perancangan juga sedang direncanakan untuk menggantikan perkhidmatan polis tetap di kediaman VVIP dan di pejabat.

Dalam pada itu, Auxiliary Force Sdn Bhd juga dilantik untuk menjadi pembekal utama kelengkapan dan pakaian seragam bagi Polis Bantuan.

Selain itu, ia juga menyedia dan menguruskan modul latihan untuk Polis Bantuan serta Kursus Asas Kecemerlangan Polis Bantuan kepada mana-mana agensi yang memerlukan.

Ia turut dilantik mengawal selia dan menguruskan pentauliahan ke atas pengawal pengiring peribadi (bodyguarding) yang baru.

KOP SECURITY SDN BHD

Dengan berkembangnya industri keselamatan swasta di Malaysia ke arah merealisasikan keperluan untuk fungsi sokongan keselamatan kepada PDRM, KOP Security memulakan operasinya pada 1995.

Berdaftar di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan juga merupakan ahli Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), KOP Security menyediakan pelbagai perkhidmatan keselamatan selaras dengan keperluan dan kehendak industri bagi melindungi pelanggan dan aset pelanggan dari sebarang risiko dan ancaman.

Kini KOP Security adalah salah satu syarikat keselamatan yang menawarkan kualiti perkhidmatan tertinggi dan terjamin di Malaysia.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh KOP Security ialah kawalan keselamatan bersenjata (statik), pengiring peribadi, pengawal peribadi dan Angkut Tunai (Cash In Transit).

KOP Security sentiasa memastikan khidmat kawalan yang berkualiti tinggi dan terjamin serta didokongi oleh anggota keselamatan yang terpilih memenuhi kriteria seperti yang ditetapkan dan mempunyai kualiti, jati diri serta disiplin yang tinggi.

KOP TRAVEL & TOURS SDN BHD

KOP Travel & Tours Sdn Bhd yang kini menguruskan 100 peratus perjalanan warga PDRM di dalam dan luar negara, amat komited dalam menyediakan perkhidmatan untuk sektor pelancongan, merangkumi pengurusan tiket penerbangan, logistik, penginapan dan lain-lain.

Bagi melancarkan perjalanan udara warga PDRM yang kadangkala melibatkan jumlah yang ramai, KOP Travel & Tours menyediakan perkhidmatan sokongan di lapangan terbang dalam menguruskan hal tiket penerbangan dan pengangkutan.

Di samping itu, KOP Travel & Tours yang kini diiktiraf antara agensi pelancongan terbaik di Malaysia turut menawarkan khidmat agensi korporat kepada pelbagai agensi kerajaan dan juga agensi swasta.

Kepada ahli koperasi juga, pelbagai pakej pelancongan ke destinasi di dalam dan luar negara turut ditawarkan dengan harga yang istimewa.

Malah pakej umrah dan ziarah akan diperkenalkan kepada ahli tidak lama lagi.

Dengan pengalaman luas dalam sektor pelancongan dan disokong oleh pasukan yang dinamik, bertanggungjawab dan komited, KOP Travel & Tours mampu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi kepuasan pelanggan.

KOP TAHIRA JV SDN BHD

KOP Tahira JV Sdn Bhd ditubuhkan hasil usaha sama antara KOP Travel & Tours Sdn Bhd (KTTSB) dengan Tahira Air Sdn Bhd (TASB) bagi menyediakan perkhidmatan tempahan penerbangan secara terus, dan mempromosi pakej inbound dan outbound dengan pihak ChinaTravel Service (TCS).

Ia juga menguruskan pelancong Malaysia untuk ke Yinchuan, China manakala pihak CTS mengendalikan kemasukan pelancong dari China ke Malaysia.

Selain itu, Pakej Umrah Jemaah China juga sedang diusahakan dengan Persatuan Muslim Ningxia.

KOP EDUCATORS & CONSULTANT SDN BHD

KPD turut melibatkan diri dalam sektor pendidikan. Kolej Unikop yang diwujudkan di bawah syarikat KOP Educators & Consultant Sdn Bhd sejak dua dekad lalu diberi kepercayaan sebagai kolej bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terawal.

Ia juga diiktiraf sebagai antara Kolej Bersekutu yang terbaik di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia.

Dengan kampus utamanya di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur, Kolej Unikop juga mempunyai dua kampus cawangan di Bukit Cheng, Melaka yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia.

Pada Mei 2016, Koperasi Polis Diraja Malaysia meluluskan pinjaman pendidikan khas kepada semua ahli dan anak ahli dengan kadar bayaran balik pinjaman serendah 3.8 peratus bagi mereka menyambung pengajian melalui Kolej Unikop.

Keistimewaan ini merangkumi semua program yang ditawarkan di Kolej Unikop melibatkan program UiTM, Diploma Policing & Investigation, Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Program Usahasama Kolej Unikop dan Open University Malaysia (OUM).

Atas faktor ruang yang terbatas bagi menampung artikel kali ini yang agak komprehensif, saya akan menyambung bicara mengenai transformasi sosioekonomi PDRM ini di minggu hadapan. Insya-Allah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 3:12 AM