MUJIBBURRAHMAN (lima dari kiri) bersama wakil syarikat yang mengambil bahagian dalam pakej pembiayaan peribadi patuh syariah.
MUJIBBURRAHMAN (lima dari kiri) bersama wakil syarikat yang mengambil bahagian dalam pakej pembiayaan peribadi patuh syariah.
Nisaa Iryanie Azhar

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama empat syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan untuk melaksanakan pakej pembiayaan peribadi patuh syariah bagi ibadah umrah dan pelancongan mesra Muslim.

Perjanjian itu membabitkan Maqbul Travel & Tours Sdn Bhd, Labbaik Travel & Tours Sdn Bhd, Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd dan Mahabbaten Travel & Tours Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, perjanjian ini memberikan peluang kepada pelanggan untuk memilih pakej bersesuaian dengan kewangan mereka.

"Melalui pemeteraian bersama syarikat terbabit, ia secara tidak langsung memberi lebih pilihan kepada pelanggan layak memilih pakej umrah dan pakej pelancongan Muslim menggunakan kemudahan pembiayaan BSN.

"Ia ditawarkan untuk pelanggan BSN dari sektor kerajaan dan swasta terpilih," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pembiayaan peribadi ditawarkan adalah di bawah pembiayaan Islamik berkonsepkan tawarruq dengan jumlah pembiayaan minimum RM10,000 hingga maksimum RM400,000.

Tempoh pembiayaan pula antara dua hingga 10 tahun bergantung kepada pakej pembiayaan dimohon serta kelayakan pemohon.

Pelanggan mempunyai pilihan memohon pembiayaan melalui pelan kemudahan sandaran Sijil Simpanan Premium (Sandaran SSP).

Skim pembiayaan ini menawarkan perlindungan takaful bagi jaminan pelunasan penuh pembiayaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dan tidak mendatangkan bebanan hutang kepada ahli keluarga pemohon.

Katanya, 50 pelanggan pertama yang memohon pembiayaan peribadi patuh syariah bagi umrah dan pelancongan mesra Muslim berpeluang memenangi baucar Siti Khadijah bernilai RM400 setiap seorang bersempena kerjasama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:00 AM