Suriya Kumar bergambar bersama peserta Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah Ziarah dan Hak Kepenggunaan di Dewan Sri Rembau, hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Suriya Kumar bergambar bersama peserta Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah Ziarah dan Hak Kepenggunaan di Dewan Sri Rembau, hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


Rembau: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM362,000 membabitkan 72 kes penipuan pakej pelancongan termasuk umrah dan ziarah, sejak 2012.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perlesenan Pelancongan KPK, S Suriya Kumar berkata, kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

Menurutnya, sejak 2012 sehingga September ini, pihaknya menerima 222 aduan membabitkan kes penipuan umrah.

"Antara penipuan yang dikesan dilakukan syarikat pengendali adalah menjanjikan jarak antara penginapan ke masjid yang dekat, lokasi lawatan, perkhidmatan yang dijanjikan dan lain-lain.

"Saya berharap jemaah tertipu membuat aduan kepada kami, polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya tindakan dapat diambil. Setakat ini, 12 syarikat pengendali umrah dibatalkan lesen kerana terbabit penipuan," katanya pada Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah Ziarah dah Hak Kepenggunaan di sini, hari ini.

Katanya, syarikat pengendali umrah yang dibatalkan lesen itu ialah Warith NY Travel & Tours, Tijaratun Nur Travel & Tours, Qaisar Travel & Tours, Permata El-Nur Travel & Tours, Hijjaz Legend Travel & Tours, J&J Mesra Travel & Tours, Seven Seas Travel & Tours, Yadh Travel & Tours Sdn Bhd, ANF Holidays Sdn Bhd, Madain Al-Taqwa Travel & Tours Sdn Bhd, Irna Yakin Travel & Tours Sdn Bhd dan Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 2:11 PM