Mohd Hilmie Hussin

[email protected]

 

Melaka: Lapan anggota bomba sesak nafas sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Melaka dipercayai akibat terhidu gas metana ketika mengesan mangsa jatuh bangunan di tapak binaan di Jalan Bukit Cina, di sini, 10 malam tadi.

Difahamkan, tujuh anggota bomba lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 45 tahun dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu itu sesak nafas sebaik turun bergilir-gilir ke tingkat bawah bangunan untuk mengesan mangsa lelaki warga Bangladesh yang terjatuh.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd Din berkata, semua lapan anggota bomba itu dalam keadaan stabil dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Selepas menerima panggilan pada 9.47 malam, kita menghantar pasukan bertindak pertama dari Balai Jalan Kubu dengan kekuatan 12 anggota.

"Mereka secara bergilir turun ke tingkat bawah sedalam 3.1 meter membabitkan ruang keluasan5.1 meter, iaitu lokasi dipercayai mangsa warga Bangladesh terperangkap.

"Dipercayai dalam ruang bawah itu mengandungi oksigen terkumpul sejak sebulan lalu dan tiada ruang keluar masuk udara menyebabkan gas dalam ruang terbabit beracun," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, gas metana di ruang tingkat bawah itu dipercayai menyebabkan anggota bomba itu sesak nafas.

Operasi menyelamat mangsa terjatuh itu berakhir pada 2 pagi selepas pasukan bantuan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh serta sepasukan enam anggota Hazmat dari Alor Gajah mengambil alih operasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mayat lelaki warga Bangladesh berusia 30-an itu berjaya dikeluarkan bomba kira-kira 1.30 pagi.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 3:11 AM
Anggota bomba yang sesak nafas diberi bantuan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka. FOTO  Mohd Himie Hussin
Anggota bomba yang sesak nafas diberi bantuan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka. FOTO Mohd Himie Hussin