FOTO Mohd Fadly Samsudin
FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Taman Cheras, di sini, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, seorang suspek menyerah diri di Balai Polis Dengkil jam 4 pagi semalam.

"Berdasarkan maklumat, pada jam 8.30 malam, 21 Ogos lalu, pihak kami menjumpai mayat dibungkus dengan kain cadar dan langsir di ruang belakang kenderaan pacuan empat roda di Jalan Serai Wangi, Taman Cheras.

"Hasil pemeriksaan, mayat itu seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun dari Dengkil, Selangor.

"Pemeriksaan pasukan forensik mendapati terdapat kesan enam das tembakan di badan selain sepuluh kulit jarinya turut disiat,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol dan 30 peluru hidup susulan penahanan itu.

"Semua suspek berusia 41 hingga 55 tahun ditahan reman sehingga 29 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 1:17 PM