Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lagi suspek kes tembak seorang ejen hartanah wanita dan anak perempuannya di Taman OUG, Jalan Klang Lama, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, suspek berusia 29 tahun itu seorang pekerja kilang ditahan ketika berada di Tampoi, Johor.

Menurutnya, penahanan terbaru itu menjadikan sembilan individu ditahan setakat ini dan polis sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut, "katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, seorang wanita berusia 32 tahun maut, manakala anak perempuannya berusia lapan tahun cedera di kepalanya dalam kejadian tembakan di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG, Jalan Klang Lama, jam 2.28 petang.

Mangsa dan keluarganya dipercayai baru memulakan perjalanan ke Pulau Pinang untuk bercuti dengan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire.

Tiba-tiba seorang lelaki bermotosikal menembak mati mangsa dari jarak dekat, manakala anaknya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan turut terkena satu das tembakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 9:04 AM