AFP

Watford, United Kingdom: Pengurus Chelsea Antonio Conte memuji komitmen dan fokus pemainnya selepas menang 2-1 ke atas Watford di Vicarage Road.

Jaringan lewat permainan Michy Batshuayi (gambar), yang pertama di kelab itu dan Diego Costa, memberikan Chelsea tiga mata tidak diduga apabila Etienne Capoue meletakkan Watford di depan awal pada separuh masa kedua kelmarin.

Chelsea kurang cemerlang pada 70 minit permainan namun Conte menurunkan Batshuayi dan kemudiannya Cesc Fabregas dengan Batshuayi menjaringkan gol manakala Fabregas membantu kedua-dua jaringan itu.

Ini perlawanan kedua berturut-turut Costa menjaringkan gol lewat permainan selepas gol penentuan ke atas West Ham Selasa lalu dan Conte benar-benar terharu dengan kebangkitan pasukannya.

“Dalam dua perlawanan ini, kami menyaksikan semangat dan komitmen yang tepat,” kata Conte.

“Selepas musim buruk seperti tahun lalu, bukan mudah memulakan musim ini dengan baik, jadi kami perlu sedar mengenai pekara itu.

“Adalah penting untuk mengubah situasi berbanding musim lalu dan kami akan cuba melakukannya dengan penuh kekuatan.

“Ya, pemain gantian memberi impak yang bagus namun saya fikir ia adalah normal selepas anda berusaha 70 minit dan lawan pula memberikan tentangan terhadap apa yang kami usahakan. Jadi, apabila pemain baru masuk, impak itu memang ada.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:06 AM