BATSHUAYI (kanan) jaring gol tunggal perlawanan.
BATSHUAYI (kanan) jaring gol tunggal perlawanan.
AFP

West Bromwich, United Kingdom: Jaringan tunggal pemain gantian Michy Batshuayi pada minit ke-82 membolehkan Chelsea muncul juara Liga Perdana selepas mengalahkan West Bromwich Albion 1-0 semalam.

Jaringan lewat pemain Belgium itu di Hawthorns memastikan skuad kendalian Antonio Conte memiliki kelebihan 10 mata berbanding pasukan di tangga kedua, Tottenham Hotspur ketika hanya sembilan mata yang mampu direbut musim ini.

Ia adalah gelaran kedua Chelsea dalam tempoh tiga musim - enam secara keseluruhan dan ia hadir pada musim pertama Conte.

“Ini adalah pencapaian hebat oleh pemain saya,” kata Conte.

“Saya perlu berterima kasih kepada mereka atas komitmen serta kesungguhan masing-masing. Mereka mempamer sikap yang luar biasa untuk mencapai sesuatu musim ini. Kami berhak untuk bergembira dengan kejayaan ini.

“Bukan mudah untuk saya apatah lagi ini musim pertama saya di England. Segala-galanya berbeza dan saya mengambil alih pasukan selepas mereka mengharungi musim yang buruk.”

Rakaman video yang disiarkan di lama Twitter rasmi Chelsea menunjukkan penjaga gol simpanan Asmir Begovic mencurah sebaldi ais ke arah Conte sebaik beliau masuk ke bilik persalinan manakala Diego Costa menuang champagne ke arah pengendali itu.

Batshuayi yang jarang diturunkan Costa, hanya memerlukan tujuh minit sebelum menjaringkan gol kemenangan pasukannya dan ia juga gol pertamanya pada saingan liga sejak Ogos.

“Ia memang hebat. Ia adalah hari terbaik buat Chelsea,” kata Batshuayi yang tiba dari Marseille tahun lalu.

“Semua orang gembira. Memang seronok dapat menjulang piala ini.”

Pemain tengah Chelsea Cesc Fabregas berkata: “Saya fikir kami mungkin gagal menang malam ini. Kami mencipta banyak peluang tetapi tidak mampu menjaringkan gol. Pemain mula tertekan.

“Tetapi inilah keindahan bola sepak. Pemain yang jarang menjaringkan gol, mampu muncul wira.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 1:41 AM