London: Penjaring gol yang membolehkan Chelsea menjulang kejuaraan, Michy Batshuayi (gambar) berharap dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam Liga Perdana Inggeris untuk kelab itu pada perlawanan menentang Watford awal pagi esok.

Penyerang Belgium itu diturunkan dari bangku simpanan dan menjaringkan gol penentuan untuk menang 1-0 ke atas West Brom Jumaat lalu yang mengesahkan Chelsea sebagai juara.

Batshuayi belum pernah diturunkan dalam kesebelasan utama untuk aksi liga sejak tampil dari Marseille tahun lalu tetapi mungkin diberi peluang sekiranya pengurus Antonio Conte memilih untuk merombak skuadnya.

“Saya bangga dengan Michy,” kata pertahanan tengah Gary Cahill berikutan kemenangan di The Hawthorns. “Dia tidak bermain sebanyak yang dimahukannya, tapi menjaringkan gol kemenangan sesuatu yang hebat buatnya.

“Kami bersatu sebagai satu skuad sepanjang musim dan itulah yang membawa kami di kedudukan sekarang.”

Kegagalan Chelsea layak ke pertandingan Eropah musim ini ditambah pula dengan rekod kecederaan, bermakna Conte perlu membuat beberapa penyesuaian kepada kesebelasan utamanya sepanjang kempen ini.

Cesc Fabregas dan Willian sering keluar masuk senarai pemain tetapi pemain simpanan Chelsea sudah membiasakan diri dalam barisan simpanan Stamford Bridge.

Batshuayi bukan satu-satunya pemain yang perlu menunggu peluang bermain, malah Kurt Zouma, kapten kelab John Terry dan Nathan Ake, yang kembali daripada pinjaman di Bournemouth Januari lalu juga berdepan nasib sama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 1:27 PM