MUTALIB (dua kanan)melepaskan Nasir yang akan berlari sejauh 500 kilometer bermula dari Dataran Masjid Zahir. FOTO Muhd Adib
MUTALIB (dua kanan)melepaskan Nasir yang akan berlari sejauh 500 kilometer bermula dari Dataran Masjid Zahir. FOTO Muhd Adib
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pesara tentera, Nasir Abas, 61, memulakan larian sejauh 500 kilometer dari Masjid Zahir, di sini, ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Merdeka ke-59, hari ini.

Pelepasan larian dilakukan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun kira-kira 7 pagi tadi.

Nasir akan mengharungi larian sejauh kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar ke Sungai Petani dan dijangka tiba petang ini untuk hari pertama.

Dia turut disertai anak bongsunya, Mohd Ridzuan Nasir, 28, dan isterinya, Faridah Lowamiah, 59, serta rakan bersama dua kenderaan yang memberi sokongan sepanjang larian.

Nasir berkata, dia sudah memulakan sesi latihan selepas Aidilfitri lalu dengan melakukan larian sejauh 15 km sehari di sekitar kawasan Kuala Kedah.

"Ini larian solo kesembilan yang saya lakukan dan InsyaAllah akan mengharungi cabaran sepanjang laluan di empat negeri melalui jalan lama untuk sampai ke Kuala Lumpur.

"Tujuan saya hanya untuk menunjukkan semangat patriotik di semua peringkat golongan usia tak kira tua atau muda selain kecerdasan dan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 11:28 AM