PAK Nasir (hadapan) meneruskan lariannya dari Batang Kali ke Jalan Kuching dan dijangka tiba di Dataran Merdeka, malam ini. FOTO ihsan Anak Pak Nasir
PAK Nasir (hadapan) meneruskan lariannya dari Batang Kali ke Jalan Kuching dan dijangka tiba di Dataran Merdeka, malam ini. FOTO ihsan Anak Pak Nasir
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bekas tentera, Nasir Abas, 61, hanya tinggal lima kilometer (km) lagi bagi menamatkan misi larian solo 500 kilometer dari Kedah ke Dataran Merdeka sempena Ambang Merdeka, malam ini.

Dia yang mesra disapa Pak Nasir kini berada di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan akan meneruskan lariannya ke pusat bandar.

Anaknya Mohd Ridzuan, 28, brkata, bapanya kini sudah sampai di check point terakhir iaitu di Jalan Kuching dan akan meneruskan lariannya ke pusat bandar Kuala Lumpur.

"Abah semakin bersemangat untuk meneruskan misi larian solonya malah kami empat beradiknya turut menyokongnya dari belakang," kata Mohd Ridzuan Nasir.

"Keadaan cuaca tidak menjadi masalah malah abah juga tidak mempunyai masalah sakit kaki atau kejang seperti yang pernah dialaminya sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, mereka turut menghadapi cabaran ketika sampai di Rawang, Selangor petang tadi apabila melalui jalan kampung yang sempit dan sesak sehingga menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan dari polis untuk mengawal mereka.

"Abah dijangka akan disambut oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku salah satu penaja untuk larian solo ini," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nasir Abas mempamerkan semangat patriotik apabila melakukan larian solo sejauh 500 kilometer (km) dari Kedah ke Dataran Merdeka di ibu negara sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 tahun ini.

Nasir yang juga Imam Surau Al Hijrah di Kuala Kedah, memulakan larian berkenaan di Masjid Zahir, di sini, jam 7 pagi 21 Ogos lalu dengan pelepasan disempurnakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 8:30 PM