PENIAGA, Ahmad Ruslan Jawi, 54 menunjukkan isi durian kepada pelanggannya di Pesta Durian di kawasan Rehat & Rawat Seremban (arah selatan) di lebuh raya PLUS. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
PENIAGA, Ahmad Ruslan Jawi, 54 menunjukkan isi durian kepada pelanggannya di Pesta Durian di kawasan Rehat & Rawat Seremban (arah selatan) di lebuh raya PLUS. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Pengguna lebuh raya yang menuju ke selatan dapat menikmati buah-buahan tempatan yang dijual sempena Pesta Durian di R & R Seremban, di sini, hari ini.

Pesta anjuran Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bermula hari ini sehingga esok.

Pesta menyediakan kira-kira 20 gerai jualan buah-buahan tempatan terutama durian.

Kira-kira lima ribu pengguna lebuh raya dijangka berkunjung ke pesta dua hari itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi, berkata 40 tan buah disediakan kepada pengunjung.

"Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding di pasaran. Malah, pengunjung juga berpeluang membuat pemilihan dan menikmati buah-buahan di gerai jualan.

"Kita (kerajaan negeri) mengalu-alukan penganjuran program demikian di negeri ini bagi memberi peluang kepada pengusaha dan peladang buah memasarkan hasil mereka. Saya berharap program ini diteruskan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat gerai jualan sempena pesta itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 3:20 PM