OMRAN bersama-sama seorang lagi kanank-kanak yang cedera dalam serangan udara di Aleppo di dalam ambulans sebelum dibawa ke hospital.
OMRAN bersama-sama seorang lagi kanank-kanak yang cedera dalam serangan udara di Aleppo di dalam ambulans sebelum dibawa ke hospital.
Agensi

Aleppo: Seorang budak berusia lima tahun yang menjadi simbol kedahsyatan dan tragedi perang Syria apabila gambarnya dengan muka berdarah dan dilitupi debu mengejutkan dunia, dilapor bersatu semula dengan ibu bapanya.

Keluarga itu terpisah apabila serangan udara yang dilancarkan tentera rejim Bashar al-Assad atau pesawat Russia mengebom kediaman mereka, beberapa hari lalu.

Omran Daqneesh kelihatan keliru dan bingung apabila dia diangkat masuk ke ambulans selepas ditarik keluar dari runtuhan rumahnya di Aleppo yang musnah dalam serangan udara itu.

Seorang jururawat yang merawat budak itu berkata, Omran tidak menangis sepanjang berada di dalam ambulans mahupun ketika dirawat, sehinggalah melihat ibu bapanya tiba di hospital itu.

“Dia hanya bertanya di mana ibu bapanya. Hanya apabila melihat mereka baru dia mula menangis,” kata jururawat berkenaan, Abu Rajab.

Omran ditarik keluar dari runtuhan kediamannya sejam selepas serangan udara itu dan dalam kebingungan apabila tiba di hospital.

“Dia mungkin trauma dan keliru,” kata seorang lagi jururawat.

Omran tinggal bersama-sama ibu, bapa dan tiga adik beradiknya yang lain - semuanya terselamat dari pengeboman itu.

Bagaimanapun, lapan penduduk, termasuk lima kanak-kanak tidak bernasib baik apabila mereka terbunuh.

Menurut laporan, keluarga Omran enggan bercakap kepada media kerana bimbang mereka akan menjadi sasaran penyokong rejim Bashar selepas ini.

Imej menggerunkan menunjukkan kemusnahan di kawasan kediaman keluarga itu di timur Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang tersebar, menggambarkan kedahsyatan yang menimpa mereka yang terperangkap dalam serangan udara itu.

Gambar dan video mengenai Omran menjadi viral selepas ia dimuat naik ke Internet dengan masyarakat antarabangsa menyuarakan kepiluan dan kesedihan dengan apa yang berlaku di Syria setiap hari.

Rakaman video menunjukkan dia menyapu debu pada dahinya dengan tangan sebelum menyedari ia berdarah dan kemudian meletakkan tangannya semula pada pahanya.

Dia duduk tanpa menangis atau berkata apa-apa sementara penyelamatnya meninggalkan ambulans untuk menyelamatkan empat kanak-kanak lain sebelum membawa mereka ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:04 AM