PEMINAT sukan tanah air bergembira menyaksikan kemenangan Chong Wei ke atas Lin Dan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PEMINAT sukan tanah air bergembira menyaksikan kemenangan Chong Wei ke atas Lin Dan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Dataran Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 2, di sini bergema dengan sorakan dan laungan 'Malaysia Boleh' daripada peminat sukan tanah air yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei yang berentap dalam perlawanan separuh akhir badminton Sukan Olimpik Rio 2016 menentang pemain China, Lin Dan, hari ini.

Kira-kira 3,000 penonton pelbagai kaum termasuk pasukan sorak hadir bagi menonton perlawanan secara langsung itu menerusi tayangan skrin besar yang disediakan.

Siaran langsung itu yang dibawa khas oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama PPj turut dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pertunjukan bola sepak gaya bebas, persembahan muzik daripada kumpulan buskers dan ‘food truck’.

Seorang pengunjung, Annie Chai, 45, berkata, dia sangat gembira apabila melihat rakyat pelbagai kaum berkumpul untuk sama-sama memberi sokongan kepada pemain badminton negara sambil mengibarkan bendera negara.

"Sukan mampu merapatkan hubungan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum tidak kira umur dan saya berbangga dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan.

"Malah saya lebih bangga apabila melihat kanak-kanak turut sama bersorak dan melaungkan 'Malaysia Boleh' dengan penuh semangat setiap kali pemain negara berjaya mematahkan serangan pihak lawan," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:33 PM