MASAK lemak ketam.
MASAK lemak ketam.
SIPUT sedut yang enak.
SIPUT sedut yang enak.
Oleh NORIAH IDRIS

Penggemar masak lemak daging salai tempoyak pasti teruja kerana masakan itu boleh didapati setiap hari di Restoran Omok. Terletak di Subang Jaya, Selangor, restoran diusahakan Norin Ismail, 59, turut mengetengahkan pelbagai menu menarik yang memenuhi pelbagai cita rasa.

Norin yang mahir dalam masakan tradisional Minangkabau berkata, selain daging salai, masakan lain yang popular dalam kalangan pelanggan adalah patin dan ikan keli masak tempoyak, masak lemak siput sedut dan ketam serta udang.

Menurutnya, kebanyakan resipi diperturunkan oleh ibu, sekali gus mendorongnya membuka restoran pada 2003 kerana tidak mahu kemahiran memasak itu hilang begitu saja.

"Sebenarnya, tarikan untuk masakan ini bergantung kepada rempah ratusnya seperti serai, kunyit dan cili padi yang dirumus bersama tempoyak dan cara masakan dihasilkan seolah-olah untuk dimakan sendiri atau dinikmati bersama keluarga.

"Bagi memberi kepuasan, saya memasaknya dengan api sederhana dan dikacau penuh hati-hati supaya menghasilkan masakan terbaik. Pelanggan yang mencubanya pasti mendapat kepuasan disebabkan cita rasanya yang asli," katanya.

Menurut Norin, pelanggan yang kurang menggemari masakan berlemak boleh mendapatkan pilihan lain, termasuk ayam dan ikan keli atau tenggiri goreng serta kari kambing yang turut disediakan.

Restoran yang beroperasi seawal jam 11 pagi dan berakhir jam 4 petang itu mementingkan kualiti selain bahan mentah yang sentiasa segar serta mencukupi bagi menampung keperluan pelanggan setiap hari.

"Menu juga sering dipantau dari semasa ke semasa supaya mampu memenuhi kehendak pelanggan dengan memberikan yang terbaik," katanya.

Norin berkata, pihaknya turut menyediakan katering bagi mereka yang ingin mengadakan majlis bertunang, acara perkahwinan mahupun sambutan hari jadi dalam jumlah tertentu.

Katanya, restoran berkenaan dibuka lima hari seminggu bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan katering yang mendapat permintaan menggalakkan, terutama pada Sabtu atau Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:02 AM