FOTO yang dirakamkan pada 17 Ogos memapaskan Awang Muda Embong, 67, melihat rakaman ulangan acara keirin yang anaknya, Azizulhasni, di Sukan Olimpik Rio. FOTO Rosli Ilham
FOTO yang dirakamkan pada 17 Ogos memapaskan Awang Muda Embong, 67, melihat rakaman ulangan acara keirin yang anaknya, Azizulhasni, di Sukan Olimpik Rio. FOTO Rosli Ilham


Dungun: Awang Muda Embong, bapa pelumba berbasikal elit negara, Azizulhasni, menasihati anaknya menyelesaikan isu bantuan Kerajaan Terengganu terhadapnya secara baik.

“Selesai molek-molek (dengan baik), jumpalah sendiri Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman,” nasihat beliau kepada anaknya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengenai luahan Azizulhasni di laman sosial Facebook yang kecewa tidak mendapat bantuan kerajaan negeri untuk membeli (basikal) ‘RoadBike’ dan mendakwa tidak mendapat perhatian Ahmad Razif.

Catatan Azizuhasni dalam Facebook itu dibuat beberapa jam selepas memenangi pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, pada Rabu.

Awang Muda, 67, berkata beliau masih lagi terkejut dengan tindakan anaknya itu selepas dimaklumkan pihak lain.

“Perkara ini tak patut berlaku...macam (seolah-olah) MB tak ambil tahu pulak hal Azizul.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan cara baik, elok kalau kedua-dua pihak berjumpa dan bersemuka, selesai molek-molek,” katanya.

Ketika ditanya adakah selama ini kerajaan negeri ada memberi sebarang bantuan kepada anaknya, Awang Muda berkata: “Saya tak tahu sangat pasal bantuan sebab dia duduk jauh, Australia. Jumpa pun jarang-jarang...berhubung pun melalui telefon.”

Azizulhasni dalam catatannya itu menyindir Ahmad Razif yang didakwa tidak melayan permohonan tajaan basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaannya dan rakan, Fatehah Mustapha.

Bagaimanapun, selepas dirujuk kepada Ahmad Razif, beliau berkata tidak tahu mengenai perkara yang dibangkitkan Azizulhasni dan mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat menyiasat dakwaan Azizulhasni.

Sementara itu, akhbar melaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berpendapat mungkin terdapat salah faham dan menegaskan bahawa Azizulhasni telah mendapat sokongan penuh daripada kementeriannya dan Yayasan Sime Darby.

Ketika ditemui malam tadi, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, berkata beliau juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Azizulhasni namun akan tetap menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, bagi menghargai kesungguhan Azizulhasni mewakili negara di temasya Olimpik Rio, kerajaan negeri sebelum ini pernah menyampaikan insentif RM5,000 kepada wakilnya (ibu beliau).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 4:13 PM