MCLEOD (dua dari kiri) ungguli acara 110 meter lari berpagar.
MCLEOD (dua dari kiri) ungguli acara 110 meter lari berpagar.
AFP

Rio de Janeiro: Bintang Jamaica Omar McLeod berkata, kejayaan yang dicatat Usain Bolt dan Shelly-Ann Fraser Pryce memberi inspirasi kepadanya untuk memenangi acara 110 meter lari berpagar semalam.

McLeod, 22, muncul atlet Jamaica pertama memenangi pingat emas menerusi acara itu selepas mempamer aksi cemerlang di Stadium Olimpik dengan catatan 13.05 saat.

Ia adalah persembahan terbaik daripada satu lagi produk terbaru Jamaica menerusi acara pecut.

Kemenangan itu menyaksikan musim cemerlang untuk McLeod yang pada bulan lalu terjatuh ketika beraksi di Liga Berlian sehingga menyaksikannya terhencut-hencut menuju ke garisan penamat.

McLeod kembali bangkit di Rio selepas mendapat inspirasi dengan pemenang tiga pingat emas acara pecut 100 meter di Olimpik, Bolt dan pemenang dua kali 100 meter wanita, Shelly-Ann.

“Anda menyaksikan mereka mewakili negara dan kemudian menang. Sudah tentu anda juga mahu turun ke trek untuk melakukan perkara sama,” kata McLeod.

“Ia umpama ‘berjangkit’, anda juga mahu merasai apa yang mereka lalui,” katanya.

McLeod berkata, dia bergelut untuk meraih kemenangan yang menyaksikan pelari Sepanyol Orlando Ortega meraih perak dan Dimitri Bascou, gangsa.

“Saya amat gembira. Perasaan ini sukar untuk diungkapkan. Saya tidak tahu apa yang berlegar di fikiran saya ketika ini.

“Saya memerlukan masa untuk bertenang sebelum mengucap syukur beberapa kali dan kemudian barulah percaya bahawa saya adalah seorang juara Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:06 AM