NEYMAR memegang buku lali kanannya dalam keadaan kesakitan ketika menentang Serbia. FOTO EPA
NEYMAR memegang buku lali kanannya dalam keadaan kesakitan ketika menentang Serbia. FOTO EPA
Reuters

Doha: Dua pemain Brazil, Neymar dan Danilo akan terlepas dua baki perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia dan bergelut untuk cergas bagi pusingan kalah mati, selepas cedera ketika menang 2-0 ke atas Serbia, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan sumber rapat pasukan kepada Reuters, hari ini.

Brazil yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan G akan menentang Switzerland dan Cameroon, tanpa pemain paling terkenal, Neymar serta pemain pertahanan, Danilo, walaupun doktor pasukan mengesahkan mereka hanya terlepas aksi menentang Switzerland.

"Neymar dan Danilo menjalani ujian MRI, tengah hari ini dan kami dapati ada masalah ligamen buku lali rosak dialami kedua-dua pemain itu," kata Rodrigo Lasmar kepada media.

"Sudah tentu, mereka akan terlepas perlawanan berikutnya dan kami berwaspada berikutan mereka akan menjalani rawatan supaya boleh kembali cergas dan bermain semula di Piala Dunia."

Neymar dibelenggu masalah kecederaan kaki kanan dan buku lali sejak beberapa tahun lalu dan kelihatan kecewa ketika meninggalkan pada selepas perlawanan dengan Serbia.

Di Piala Dunia 2014, dia mengalami masalah belakang ketika menewaskan Colombia di suku akhir dan tidak diturunkan ketika dibelasah 1-7 oleh Jerman di separuh akhir.

Masalah Brazil bertambah apabila pemain sayap, Antony dan pemain tengah, Lucas Paqueta kedua-duanya sakit dan tidak boleh diturunkan menentang Switzerland, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 12:51 AM