NEYMAR (kiri) menangis dan ditenangkan Dani Alves selepas Brazil tersingkir di suku akhir Piala Dunia di tangan Croatia. FOTO AP
NEYMAR (kiri) menangis dan ditenangkan Dani Alves selepas Brazil tersingkir di suku akhir Piala Dunia di tangan Croatia. FOTO AP
Reuters

Doha: Brazil sekali lagi menampilkan prestasi mengecewakan di Piala Dunia apabila tersingkir secara mengejut di suku akhir di tangan Croatia menerusi penentuan sepakan penalti.

Ia adalah kekalahan yang akan membelenggu mereka kerana membiarkan kemenangan terlepas beberapa ketika sebelum wisel penamat.

Brazil hampir menang selepas mendahului 1-0 menerusi jaringan menarik pada separuh masa pertama masa tambahan, tetapi mereka mendedahkan benteng dan membenarkan Croatia menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas tiga minit sebelum wisel penamat.

Ia adalah kali kedua berturut-turut mereka tersingkir di suku akhir Piala Dunia dan yang keempat dalam lima edisi terakhir.

Satu-satunya kejayaan melangkah ke separuh akhir dalam tempoh itu adalah ketika di tanah air sendiri pada 2014, tetapi mereka dibelasah 1-7 oleh Jerman yang kemudiannya muncul juara.

Kegagalan kali ini dianggap malapetaka bagi pasukan yang tiba di Brazil sebagai pasukan pilihan dan dipenuhi generasi baharu berbakat bersama Neymar.

Bagaimanapun, detik yang sepatutnya menjadi penebus bagi penyerang Paris St Germain itu sebaliknya menjadi mimpi ngeri pada penampilan ketiganya di Piala Dunia.

Selepas diketepikan Dunga pada 2010 kerana terlalu muda, dia mengalami kecederaan belakang ketika Brazil menewaskan Colombia di suku akhir, empat tahun kemudian dan menyaksikan pasukannya diaibkan Jerman di separuh akhir di atas katil hospital.

Di Rusia 2018, kecederaan sekali lagi meranapkan impiannya di Piala Dunia. Awal tahun itu, Neymar cedera buku lali kanan dan tidak sempat pulih 100 peratus di Piala Dunia apabila beraksi di bawah kemampuan sebenar Brazil tersingkir di suku akhir di tangan Belgium.

Dia turut mengalami kecederaan sama pada perlawanan pembukaan di Qatar dan diketepikan dalam dua aksi berikutnya, tetapi mampu pulih pada aksi 16 terakhir untuk menewaskan Korea Selatan 4-1.

Malam tadi, dia menjaringkan gol menarik yang hampir membawa Brazil ke separuh akhir dan mungkin bertemu musuh ketat, Argentina.

Bagaimanapun, kesilapan taktikal dan mental menyebabkan mereka dibolosi pada hujung perlawanan sebelum kecundang dalam penentuan sepakan penalti.

Kini, Brazil terpaksa menanti empat tahun lagi untuk mencipta rekod muncul juara dunia kali keenam selepas kali terakhir menjulang trofi pada 2002.

Mereka boleh bergantung kepada trio muda Real Madrid, Vinicius Jr, Rodrygo dan Eder Militao serta bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Bruno Guimaraes, Antony dan Gabriel Martinelli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 9:16 PM