WARGA emas, Ibrahim Abdul Kadir, 67, yang maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
WARGA emas, Ibrahim Abdul Kadir, 67, yang maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang pekerja stesyen pam minyak di Jalan Kampung Gelam di sini, maut selepas motosikal yang ditungang terbabit kemalangan dengan motosikal lain malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu mangsa, Ibrahim Abdul Kadir, 67, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Tangga Batu di sini, sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Kominsioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menungang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Tanjung Kling menghala ke Tangga Batu, dipercayai sebelum membuat pusingan U ke Tanjung Kling.

"Sebaik tiba di lokasi mangsa membuat pusingan U, menyebabkan motosikal jenis Demak yang ditunggang pelajar berusia 16 tahun yang berada di belakangnya gagal mengelak dan berlaku perlanggaran.

"Akibatnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi penungang mengalami kecederaan pada muka dan tangan" katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka bagi bedah siasat dan pelajar terbabit dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 12:48 PM