Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Akibat perselisihan faham, seorang pelajar Tingkatan 3 lebam seluruh badan dan muka akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki termasuk 20 pelajar sekolah, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 4.09 minit tular di media sosial sejak semalam memaparkan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di kawasan awam di Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 29 Mac lalu berpunca kerana perselisihan faham dan rasa tidak puas hati berhubung insiden lama membabitkan ejek-mengejek.

"Polis menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu selepas mendapati cucu lelakinya yang berusia 15 tahun dipukul oleh sekumpulan lelaki dikenali di Pantai Puteri sehari sebelumnya, kira-kira 1 tengah hari.

"Pengadu kemudian membawa cucunya untuk rawatan di Hospital Melaka dan mangsa kini masih dirawat," katanya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, bertindak atas laporan, polis menjalankan siasatan dan menahan 23 individu berusia 15 hingga 20 tahun di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak, kelmarin bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek yang berumur di bawah 18 tahun adalah pelajar dari sekolah berbeza di sekitar kawasan Tanjung Kling.

Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Hasil penahanan semua individu terbabit polis turut merampas tiga topi keledar serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu," katanya sambil memaklumkan semua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:16 AM