Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO Mohd Yusni Arifin
Sebahagian PATI yang ditahan. FOTO Mohd Yusni Arifin
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 hingga 50-an ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam dua operasi di Pantai Dalam dan Jalan Klang Lama, di sini, malam tadi.

Operasi yang bermula pada 11 malam itu diketuai pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama beberapa agensi penguat kuasa lain selepas menerima aduan mengenai kebanjiran pendatang asing di dua kawasan itu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, daripada 95 yang ditahan 67 adalah lelaki manakala 28 wanita atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain dokumen yang sudah tamat tempoh.

"Operasi ini akan diteruskan daripada semasa ke semasa kerana selain mengesan PATI ia juga bertujuan mengurangkan kadar jenayah di kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan kini ditempatkan di Lokap Balai Polis Jinjang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 12:22 PM