Anggota bomba memeriksa tong dipercayai mengandungi bahan kimia yang ditemui terapung di perairan Selat Melaka kira-kira lima batu nautika dari pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Ihsan PPM
Anggota bomba memeriksa tong dipercayai mengandungi bahan kimia yang ditemui terapung di perairan Selat Melaka kira-kira lima batu nautika dari pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Ihsan PPM
Mohd Khidir Zakaria dan Khairul Najib Asarulah Khan


Port Dickson: Tong mengandungi bahan kimia yang terapung di perairan Selat Melaka kira-kira lima batu nautika dari pantai Telok Kemang, di sini, berjaya ditemui pasukan pencari, tengah hari tadi.

Tong yang dipercayai berisi bahan kimia jenis hidrogen peroksida itu ditemui jam 1.30 tengah hari, oleh pasukan pencarian yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut Port Dickson dan Pasukan Polis Marin.

Pengarah JBPM negeri Norazam Khamis berkata, sebaik ditemui pasukan bertindak menambat tong berkenaan supaya tidak dibawa arus dan meletakkan tanda amaran bagi mengelak dilanggar bot.

"Kita (bomba) melakukan pemeriksaan pada tong sepanjang tiga meter itu mendapati ia masih berisi bahan kimia terbabit dan tidak mengalami kebocoran. Sebuah bot Jabatan Laut turut ditempatkan di lokasi penemuan untuk memantau keadaan.

"Selepas ini, Jabatan Laut akan menunda tong itu menggunakan kapal untuk dibawa ke Pelabuhan Port Dickson bagi siasatan terperinci," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 6 petang semalam, nelayan menemui tong besar terapung dipercayai terjatuh dari kapal dagang yang melalui laluan itu, sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 7:14 PM