ANGGOTA penyelamat menjalankan pemeriksaan terhadap tong yang ditemui, semalam.
ANGGOTA penyelamat menjalankan pemeriksaan terhadap tong yang ditemui, semalam.
Mohd Khidir Zakaria dan Khairul Najib Asarulah Khan


Port Dickson: Tong berisi hidrogen peroksida yang terapung di perairan Selat Melaka dekat sini, sejak kelmarin ditemui jam 1.30 tengah hari, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Norazam Khamis berkata, operasi mencari tong itu membabitkan 30 anggota dan pegawai lima agensi penguatkuasaan.

“Pencarian dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan tumpuan di sekitar kawasan penemuan awal iaitu lima batu nautika dari pantai Telok Kemang.

“Selepas ditemui, tong itu ditambat supaya tidak dibawa arus selain dipasang tanda amaran bagi mengelak dilanggar bot. Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati tong terbabit masih berisi hidrogen peroksida berdasarkan labelnya.

“Bagaimanapun, tiada kebocoran berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Norazam, pihaknya menyerahkan operasi menunda dan mengalihkan tong berkenaan kepada Jabatan Laut.

Tong berbentuk silinder sepanjang tiga meter itu ditemui terapung oleh nelayan, kira-kira lima batu nautika dari pantai Telok Kemang, jam 6 petang kelmarin, sebelum ia dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Tong terbabit dipercayai terjatuh daripada kapal dagang yang melalui perairan berkenaan dan boleh meletup jika terdedah kepada pemanasan.

Selain JBPM, empat lagi agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam operasi mengesan tong terbabit ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut Port Dickson dan Polis Marin.

Operasi mencari bermula jam 8.30 malam kelmarin dan dihentikan jam 1.30 pagi semalam berikutan cuaca gelap. Operasi pencarian disambung semula jam 9 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 10:11 AM