Tong dipercayai mengandungi bahan kimia ditemui nelayan terapung di perairan Selat Melaka, petang tadi. Mohd Khidir Zakaria
Tong dipercayai mengandungi bahan kimia ditemui nelayan terapung di perairan Selat Melaka, petang tadi. Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sebuah tong dipercayai mengandungi bahan kimia ditemui nelayan terapung di perairan Selat Melaka, kira-kira lima batu nautika dari Pantai Telok Kemang di sini, 6 petang tadi.

Tong besar yang dipercayai mengandungi hidrogen peroksida itu dikatakan terjatuh dari sebuah kapal dagang yang menggunakan laluan berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, seramai 17 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.24 petang.

Menurutnya, bomba dengan kerjasama pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis bergerak ke tengah laut untuk operasi mengangkat tong berkenaan.

"Pasukan berjaya mengalih tong itu kerana dikhuatiri dilanggar kapal lain. Tumpuan utama pasukan sekarang untuk memastikan tiada kebocoran berlaku sebelum mengalihkan ke lokasi selamat.

"Kita belum dapat mengesahkan isi kandungan tong berkenaan. Mengikut laporan awal ia mengandungi hidrogen peroksida, namun siasatan terperinci perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 11:40 PM