Tong hitam yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Karak sejak Khamis lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Tong hitam yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Karak sejak Khamis lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PENEMUAN 15 tong hitam dipercayai mengandungi bahan kimia sodium sianida di kawasan ladang kelapa sawit di Karak, Bentong menimbulkan tanda tanya penduduk.

Tong hitam itu disedari Khamis lalu dan menimbulkan kebimbangan penduduk jika berlaku pencemaran bahan kimia di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mereka sudah ke lokasi untuk memeriksa dan mengambil sampel bagi dihantar ke Jabatan Kimia.

“Siasatan awal mendapati bahan kimia itu dalam keadaan pepejal dan tiada kewujudan wap gas sianida dikesan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bahan kimia jenis sodium sianida itu biasanya digunakan dalam industri perlombongan emas bagi tujuan mencuci bahan galian itu.

Justeru katanya, polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah lombong emas yang beroperasi di Kampung Cinta Manis, Bentong.

“Polis menjalankan siasatan jika pengendali lombong emas berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan tong hitam itu.

“Kita akan menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:39 PM