Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Dua belas tong dram berisi pelbagai bahan kimia ditemui di Jalan Maxwell, Taman Idris di sini, pagi tadi dengan empat daripada didapati tumpah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, tong terbabit berisi bahan kimia seperti 'Bio Tergas AS40', 'Royol Process 250T' dan tumpahan membabitkan masing-masing dua tong 'T-Gum' dan 'Octowet 70D'.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 9.50 pagi.

"Anggota Hazmat kemudiannya meneutralkan bahan kimia itu dengan air serta memindahkan bahan terbabit ke tong dram berasingan," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, pemilik bahan kimia terbabit belum dapat dikenal-pasti memandangkan tiada kenderaan berat yang membawanya ke lokasi itu.

"Kes diserah kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat jam 12.29 tengah hari," katanya

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia Jalan Pasir Putih membuat pemeriksaan dan pembersihkan tong yang dipercayai bahan kimia di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh. FOTO L.MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:31 PM