PENGENALAN ‘Mata Wang Cinta’ dalam proses jual-beli di Pasar Hutan Percuma itu berfungsi bagi mensimulasi keadaan sebenar di pasar.
PENGENALAN ‘Mata Wang Cinta’ dalam proses jual-beli di Pasar Hutan Percuma itu berfungsi bagi mensimulasi keadaan sebenar di pasar.
Nor Faizah Mohamed


Masih ingat lagi bagaimana rasanya membeli-belah di pasar buat pertama kalinya ketika kecil dahulu?

Pastinya segala perasaan melanda diri. Gembira, teruja, takut, bimbang dan pelbagai lagi perasaan saling bercampur-baur menghambat diri.

Namun bagaimana pula jika tidak dapat berbelanja di pasar raya atau tempat awam dengan bebas? Apa pula perasaan diri ketika itu?

Situasi inilah yang dialami komuniti Orang Asli yang tidak berpeluang bebas berbelanja di pasar seperti masyarakat di bandar.

Dengan hanya kedai runcit di pinggir kampung, komuniti ini bergantung sepenuhnya di kedai terbabit untuk mendapatkan keperluan atau barangan yang diingini.

Jarang sekali, malah ada yang langsung tidak pernah merasai pengalaman membeli-belah di pasar, pasar raya atau pasar terbuka terbuka kerana masalah pengangkutan, kewangan dan sebagainya.

Justeru inisiatif yang dilakukan Malaysian Electronic Payment System (MEPS) bersama Kindness Malaysia di Ulu Kemensah, Selangor, baru-baru ini adalah antara usaha menarik membantu komuniti Orang Asli memahami sistem dagangan jual-beli dengan lebih baik.

Aktiviti dikenali Pasar Hutan Percuma itu adalah yang pertama seumpamanya diadakan bertujuan membawa pengalaman berbelanja di pasar terus ke pintu rumah komuniti terbabit.

Lokasi perkampungan Orang Asli yang terletak jauh di pedalaman menghalang mereka mengunjungi pasar harian yang terdekat untuk berbelanja.

Lebih 70 kakitangan MEPS dan sukarelawan Kindness turun padang bagi melakukan aktiviti ‘menjual’ keperluan asas seperti beras, gula serta minyak masak dengan menggunakan ‘Mata Wang Cinta’ sebagai duit.

Selain itu, masyarakat Orang Asli diberi berpeluang memilih pelbagai baju terpakai dan alat permainan sumbangan kakitangan MEPS.

Pengenalan ‘Mata Wang Cinta’ dalam proses jual-beli di Pasar Hutan Percuma itu berfungsi bagi mensimulasi keadaan sebenar di pasar.

‘Mata Wang Cinta’ yang dibuat daripada kertas berwarna, diperkenalkan sebagai duit kepada Orang Asli terbabit untuk mendidik mereka mengenai penggunaan duit sebagai medium penukaran komoditi.

Setiap keluarga diperuntukkan sejumlah ‘Duit Cinta’ dan mereka bebas menggunakannya untuk mendapatkan barang keperluan di Pasar Hutan Percuma itu.

Usai berbelanja di pasar, 25 keluarga Orang Asli itu dihiburkan dengan aktiviti di dalam dewan antaranya sesi mewarna untuk kanak-kanak.

Menurut ketua kampung, Tok Batin Ebak, aktiviti seperti ini amat digalakkan untuk membantu golongan kurang bernasib baik seperti mereka.

Ini juga sebagai salah satu langkah awal untuk melengkapkan anak muda komuniti terbabit dengan ilmu urusan dagangan dan jualan yang boleh digunakan kelak apabila ke bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:00 AM