Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Mahkamah Sesyen Shah di sini, hari ini memerintahkan dua syarikat membayar tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masing-masing RM17,492 dan RM4,311 selepas mereka gagal melunaskannya dalam tempoh ditetapkan, tahun lalu.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati writ dikemukakan Unit Guaman Sivil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menyatakan pengeluaran bil tuntutan kepada kedua-dua syarikat itu namun masih tiada bayaran dibuat.

Berdasarkan writ pertama, JKDM menerima penyata GST untuk sebuah syarikat kurier, YTC Services Sdn Bhd bersama dua defendan lain berjumlah RM9,319 dan RM8,171 bagi tempoh bercukai pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Satu bil tuntutan mengikut Akta GST 2014 kemudian dikeluarkan bagi kedua-dua jumlah itu, namun defendan masih gagal membayar baki tunggakan cukai yang ditafsirkan.

Justeru, mengikut Seksyen 46 akta sama, tunggakan itu boleh diperoleh sebagai satu hutang sivil kepada kerajaan menerusi semua tuntutan dibuat plaintif.

Bagi writ kedua, syarikat pembuatan makanan, GSR Food Industries Sdn Bhd turut gagal membayar RM1,990 dan RM2,320 dalam tempoh ditetapkan pada Julai dan September tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pengarah Kastam JKDM negeri Abdul Rasyiddi Ab Drahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 3:44 PM