GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


ISU bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum selesai, apabila jumlah kutipan yang belum dibayar balik adalah RM80 juta lebih tinggi berbanding jumlah dilaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini.

Laporan Ketua Audit Negara Aktiviti Kerajaan Persekutuan Tahun 2017 Siri 2 mengesahkan jumlah keseluruhan tunggakan bayaran balik GST yang dilaporkan oleh JKDM setakat 5 Jun 2018 adalah RM19.55 bilion, berbanding RM19.47 bilion, disebabkan oleh kaedah memproses sistem MyGST.

Daripada RM19.55 bilion, hanya RM1.41 bilion adalah tuntutan tunggakan pulang balik yang telah diluluskan tetapi belum dibayar kepada Orang Kena Cukai (OKC) pada 31 Mei 2018.

Baki tuntutan tunggakan bayaran balik berjumlah RM18.14 bilion pula adalah tuntutan yang memerlukan semakan dan siasatan lanjut oleh pihak JKDM.

Penemuan utama Audit yang perlu diberikan perhatian, seperti integrasi bagi komponen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Akauntan Negara (JANM) tidak dilaksanakan seperti syarat kontrak, sebaliknya JKDM dan vendor melaksanakan kerja integrasi di luar dari skop kontrak iaitu dengan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Selain itu, kerja integrasi dengan Pusat Panggilan digugurkan tetapi pembayaran telah dibuat sebanyak 34,827 (13 peratus) daripada 268,558 permohonan bagi pendaftaran mandatori lewat diluluskan secara automatik melebihi 24 jam iaitu antara satu hingga 432 hari (tahun 2014 hingga 2017).

Sebanyak 12,619 (81.03 peratus) daripada 15,574 pendaftaran OKC dengan nilai ambang kurang daripada RM200,000 telah diluluskan secara automatik dalam sistem tanpa verifikasi terlebih dahulu oleh pegawai JKDM bagi tempoh tahun 2014 hingga 2017.

Manakala sebanyak 267 transaksi bagi pembayaran GST dan kompaun bernilai RM8.17 juta dalam sistem GenTax tidak mempunyai nombor pendaftaran GST atau nombor baucar.

Terdapat sebanyak 1,362 (33.4 peratus) daripada 4,071 OKC dalam kategori Pembekalan Standard dan Pembekalan Dikecualikan lebih dari 51 peratus telah menerima pulang balik sejumlah RM231.24 juta dan tidak pernah membayar cukai input dan sebanyak 584 (86.1 peratus) daripada 678 insiden yang dilaporkan lewat diselesaikan mengikut tempoh SLA yang dipersetujui iaitu melebihi dua hingga 656 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 9:50 PM