LIM Guan Eng selepas menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN.
LIM Guan Eng selepas menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN.
Hairulazim Mahmud


SEBANYAK RM4 bilion bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dibayar kepada 54,603 akaun berdaftar oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga 3 Mac 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM3.9 bilion sudah dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 28 Februari lalu membabitkan 75,776 kes bayaran balik iaitu 38,104 kes syarikat dan 37,672 kes selain syarikat.

“Dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018, Kementerian Kewangan mengumumkan Petronas akan membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan untuk digunakan dalam pembayaran tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan yang dijangkakan sebanyak RM37 bilion pada tahun ini.

“Tunggakan pembayaran balik cukai pendapatan selama enam tahun dan GST selama tiga tahun berjumlah RM37 bilion ini adalah kegagalan pengurusan kewangan negara oleh kerajaan lalu,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan jumlah tuntutan balik GST yang masih belum dapat dijelaskan pembayarannya oleh kerajaan.

Beliau berkata, pembayaran balik cukai itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada Petronas.

“Tunggakan bayaran balik GST setakat 31 Mei 2018 adalah sebanyak RM19.4 bilion membabitkan lebih 120,000 akaun berdaftar.

“Pada Ogos 2018, JKDM menetapkan RM19.4 bilion sebagai amaun sudah melalui pelbagai proses verifikasi, tapisan dan semakan dalaman untuk bayaran balik.

“Hanya kerana wang tidak mencukupi dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST yang menyebabkan jumlah ini tidak diluluskan dan dipamerkan dalam laman web JKDM agar langkah terakhir pembayaran tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 4 Mac lalu, jumlah tuntutan bayaran balik GST yang masih belum selesai adalah sebanyak RM22.145 bilion membabitkan 298,457 penyata dan 168,839 akaun berdaftar.

Menurutnya, amaun tuntutan bagi 100 syarikat tertinggi masih belum dibayar dan disahkan untuk pembayaran adalah sebanyak RM9.36 bilion membabitkan 1,028 penyata.

“Semua tunggakan bayaran balik GST akan dibayar balik sepenuhnya seperti diumumkan tertakluk kepada tuntutan yang dibuat oleh syarikat adalah teratur dan mengikut peraturan semasa ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 10:16 PM