PEMAIN cosplay memeriahkan Karnival Komik.
PEMAIN cosplay memeriahkan Karnival Komik.
Nurul Husna Mahmud


Epik dan dramatik. Itu boleh diterangkan ketika berpeluang menghadiri karnival komik di Universiti Kolej Damansara Utama Glenmarie baru-baru ini.

Mana tidaknya melihat keletah peminat komik mengunjungi fiesta mini berkenaan hadir dengan kostum memaparkan karakter adiwira kesayangan. Interpretasi minat mereka terhadap komik menggambarkan betapa terujanya melangkaui pembaca komik kalangan kanak-kanak mahupun remaja.

Kumpul penggemar komik

Menurut pengurus karnival itu Andrew Tan, bukan peminat tempatan saja menghadiri acara ini malah karnival mendapat perhatian lebih 1,000 pengunjung itu turut mendapat penyertaan peserta luar.

“Selain peminat komik tempatan, acara ini turut mendapat perhatian peminat luar dari Taiwan, Singapura mahupun pelancong luar negara.

“Tujuan saya bersama kenalan, Razman dan Alan Kuah menganjurkan acara ini untuk mengumpul peminat komik sealiran selain memberi pendedahan kepada generasi baru bagaimana untuk menghayati karakter adiwira ini.

“Saya sendiri mempunyai minat mendalam pada karakter Batman dan mempunyai koleksi sendiri baik dari segi komik mahupun figura,” katanya.

Buat sendiri kostum

Penggaya kostum atau artis cosplay Amirul Hadi berkata satu kepuasan apabila mengenakan pakaian persis adiwira hasil kerja tangan sendiri dihargai peminat.

“Kostum dikenakan saya pada hari ini ialah ‘Antman’ yang saya hasilkan sendiri. Maklumlah kalau hendak beli dengan duit gaji rasanya terlalu mahal.

“Ia mencabar kreativiti selaku peminat tegar komik seperti saya untuk berpenampilan menarik seperti ‘hero’ idaman.

“Dalam satu sudut lain, ia baik kerana saya menggunakan barang sedia ada di rumah, cuma membeli sedikit material tambahan untuk melengkapkan kostum,” katanya.

Tambah Amirul, dalam karnival ini dia berkongsi maklumat dengan pemain ‘cosplay’ lain untuk menambahkan skil selain meningkatkan kualiti kostum kerja tangannya.

Perkenal hasil kerja tempatan

Penerbit serta artis komik Amir Hafizi berkata, karnival seperti ini bagus dalam mengetengahkan produk komik anak tempatan.

“Komik kami menyasarkan kumpulan umur lebih dewasa kerana bahasa kami gunakan tidak sesuai untuk bacaan umum.

“Justeru kumpulan pembaca kami tidak meluas memerlukan medium seperti ini untuk mendekati golongan berkenaan.

“Selain itu kami turut mendapat gambaran karya bagaimana mendapat perhatian mereka, kerana hanya dalam acara seperti ini kami dapat komen langsung mengenai karya sekali gus membantu meningkatkan lagi kualiti produk dihasilkan,” katanya.

Rasa dihargai

Bagi ilustrator atau pelukis Ong Chee Yang, 32, tidak dinafikan bertemu peminat komik dalam acara seperti ini satu pengalaman bermakna buatnya.

“Acara seperti ini apabila mereka memberi komen bagus serta sukakan hasil illustrasi tentu saja sesuatu yang sangat bermakna dan penting.

“Saya pelukis komik sepenuh masa, tidak ramai memandang tinggi dengan profesion dalam cabang seni ini. Justeru apabila mereka mengatakan tertarik dengan hasil seni serta lukisan itu satu kepuasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:01 AM