BERSAMA penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam program MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014 .
BERSAMA penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam program MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014 .
MAWI bergambar bersama Pengarah Urusan IL Creatives Ventures, Ireani Yaacob (tengah), Pengerusi Kumpulan Halcent, Dr. Abdul Halim Navaghani (tiga kanan), Cat Farish serta penceramah bebas yang terbabit dalam program Kembara Umrah VIP ‘Muhasabah Cinta’.
MAWI bergambar bersama Pengarah Urusan IL Creatives Ventures, Ireani Yaacob (tengah), Pengerusi Kumpulan Halcent, Dr. Abdul Halim Navaghani (tiga kanan), Cat Farish serta penceramah bebas yang terbabit dalam program Kembara Umrah VIP ‘Muhasabah Cinta’.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Publisiti dirinya mungkin berkurangan di media massa tetapi itu bukan bermaksud Asmawi Ani atau Mawi hanya berpeluk tubuh mendiamkan diri.

Terbaru, dia menganjurkan program MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014 bagi membantu rakyat Palestin pada 6 dan 7 Disember lalu dan usahanya ini berbaloi apabila mendapat kutipan menggalakkan daripada masyarakat.

"Program kerjasama dengan Aman Palestin ini berlangsung selama dua hari di lima lokasi di Johor iaitu Tebrau, Pagoh, Mersing, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

"Saya meletakkan sasaran untuk mengutip sebanyak RM20,000 tapi mengejutkan apabila kami berjaya mengumpul RM34,000," katanya.

Mawi berkata, program disertai oleh 30 motosikal berkuasa tinggi ini singgah di lokasi yang dipilih dan di situ mereka terbabit dengan pelbagai acara yang diatur sejak awal.

"Program konvoi ini dijalankan dengan kerjasama wakil parlimen setiap lokasi dan keseluruhan jarak yang ditempuh ialah 675 kilometer. Kami turut membawa Maulana AF yang pernah ke Palestin bagi berkongsi pengalaman ketika berada di sana.

"Sambutan paling meriah diterima ialah di Mersing kerana mereka aturkan acara sukan rakyat dan gotong-royong. Saya turut bawa sama Daly Filsuf yang berduet dengan saya menerusi lagu Al Nuraa... Yang 5... Yang 6.

"Kutipan yang diperolehi terus diberikan kepada Aman Palestin yang menyumbang untuk pembangunan infrastruktur Gaza," katanya puas.

Menurut Mawi, melihat sambutan yang baik ini, dia bercadang untuk menganjurkan satu program sama tetapi untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan pula.

"Idea ini sebenarnya datang daripada seorang rakan yang aktif dengan aktiviti konvoi motosikal berkuasa tinggi. Saya bersetuju dan terus mengaturkan apa yang perlu. Saya berbincang dengan semua wakil parlimen di Johor dan hanya lima lokasi ini yang memberikan respon.

"Dalam konvoi ini saya hanya membonceng di belakang dan bukannya membawa sendiri motosikal ini. Saya bukannya kaki motosikal berkuasa tinggi dan kereta berjenama mahal," katanya.

Lagu Al Haq nyanyian Mawi dan Datuk AC Mizal baru-baru ini bersaing dalam peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 2014. Bagaimanapun, dia gagal melangkah ke Anugerah Juara Lagu sekali gus mengecewakan segelintir peminatnya.

Menjawab persoalan ini, Mawi mengakui tidak berani untuk mempertikai kredibiliti juri yang membuat pilihan.

"Saya teruja kerana terbabit dalam sebahagian lirik lagu ini. Namun mungkin pada juri lagu ini belum cukup bagus dan saya terima dengan hati terbuka. Apapun saya tetap berpuas hati kerana lagu ini berjaya ke separuh akhir.

"Ikutkan dah lama juga saya tak berdiri di pentas pertandingan. Penghasilan Al Haq memang menarik kerana awalnya kami agak risau peminat sukar terima kerana ada unsur rap sedangkan ia lagu dakwah.

"Tapi syukurlah akhirnya orang suka. Ramai peminat golongan baru yang tak tahu latar belakang AC kini kagum dengan kebolehannya buat rap dengan baik.

"Kami belum ada perancangan untuk lagu baru tapi AC ada bagi cadangan agar lirik lagu ini ditukar kepada Bahasa Inggeris dan dipasarkan di luar negara," katanya.

Tuah menyebelahi Mawi dan Ekin apabila ditaja untuk mengerjakan umrah menerusi program Kembara Umrah VIP 'Muhasabah Cinta' pada Februari 2015 di bawah bimbingan Ustaz Hanafiah Abd Malek.

Program anjuran IL Creatives Ventures dengan kerjasama Halcent Discovery Holidays Sdn Bhd ini menampilkan pakej umrah yang mempunyai pengisian ilmu di mana ustaz jemputan akan memberikan tazkirah khusus beserta sesi soal jawab dengan para jemaah.

"Saya memang bercadang nak pergi umrah buat kali kedua bersama Ekin dan anak kami, Cahaya Malaika. Tak sangka pula tiba-tiba ditawarkan peluang ini. Alhamdulillah, ia rezeki kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM