Oleh Ardini Sophia Sina

Dia pernah disanjung dan dijulang selepas menjuarai program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) tetapi tidak lama kerana Mawi atau Asmawi Ani juga sering dikecam masyarakat.

Serba tidak kena dengan dirinya hingga apa dilakukan sering dijadikan bahan cemuhan. Bagaimanapun, kehidupan Mawi bersama isteri dan anak kini damai dan mampu menumpukan banyak kerja-kerja amal.

Mengimbau kembali detik sering dilemparkan dengan cerita negatif, Mawi akui sejak kebelakangan ini tidak ada lagi cerita buruk mengenainya diperkatakan individu tertentu.

Katanya, dulu dia pernah bertanya-tanya mengapa orang tidak senang dengan kehadirannya dalam industri hingga apa dilakukan serba tidak kena.

"Saya tertanya-tanya juga apa puncanya tetapi selepas berfikir panjang, saya anggap cercaan terhadap keluarga saya sebagai ujian.

"Saya sudah puas dilempar dengan kata-kata negatif. Saya perlu menerima qada dan qadar itu dengan hati terbuka. Saya tidak ambil kisah lagi dengan cerita mengarut mengenai saya dan keluarga," katanya.

Mawi kini bahagia bersama isteri, Nora Asikin Rahmat atau Ekin dan anak perempuan, Cahaya Malaika, 2. Sabtu lalu (20 Disember), Mawi dan Ekin menyambut ulang tahun perkahwinan keenam.

Hampir 10 tahun Mawi dalam industri. Katanya, ada perancangan mengadakan 'showcase' tetapi masih dalam perbincangan dan khuatir memperkatakan perkara itu kerana bimbang ia hanya menjadi cakap kosong tetapi tidak dilaksanakan.

Mawi juga gembira dapat menyumbang sesuatu melalui program amal yang dilakukannya baru-baru ini. Katanya, niat menganjurkan MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014 bukan mahu mencari publisiti, sebaliknya atas rasa tanggungjawab.

"Lain orang lain caranya dan ini satu usaha saya untuk membantu dan menggalakkan kutipan daripada masyarakat.

"Kami pergi ke lima tempat di Tebrau, Pagoh, Mersing, Kota Tinggi dan Pasir Gudang dengan 30 motosikal berkuasa tinggi pada 6 dan 7 Disember lalu.

"Kami juga mengajak Maulana AF menyertai konvoi untuk berkongsi pengalaman ketika berada di bumi Palestin," katanya yang turut menghiburkan pengunjung dengan lagu Al Nuraa... Yang 5... Yang 6.

Mawi berkata, walaupun hanya menjadi pembonceng sepanjang perjalanan konvoi, tidak terlintas di fikiran untuk menggunakan motosikal berkuasa tinggi selepas ini kerana dia bukan peminat kenderaan seperti itu.

Program dengan kerjasama Aman Palestin bagi menjayakan kutipan derma ini turut mendapat perhatian dari kawasan lain yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama di tempat mereka.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi mampu mengutip sumbangan banyak. Pada fikiran saya, sasaran derma dijangka hanya RM20,000 tetapi syukur kerana kami berjaya mengumpul derma RM34,000," katanya.

Kata Mawi, idea itu sebenarnya dicadangkan rakannya yang memiliki kedai motosikal berkuasa tinggi. Sahabatnya yang aktif menyertai aktiviti konvoi menyuarakan cadangan itu dan Mawi mengaturkan perkara berkaitan.

Selain usaha mengutip dana bantuan untuk Palestin, Mawi merangka aktiviti baru mengumpul sumbangan buat membantu rakyat Malaysia yang ditimpa musibah.

Dalam pada itu, Mawi gembira kerana impian membawa isteri dan anaknya menunaikan umrah di Makkah bakal terlaksana tidak lama lagi apabila ditawarkan mengikuti program Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta.

Mawi akan berada di Tanah Suci dari 18 Februari hingga 1 Mac, tahun depan dan ini kunjungan keduanya ke Makkah. Kali pertama pada 2008 bersama keluarga tetapi kali ini lebih bermakna dengan kehadiran isteri dan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:04 AM