Adam Salleh

Yang dilaporkan Astro Awani; Tamam Idris adalah pelakon era 80-an. Yang sebetulnya era 60-an, Tamam Idris sudah beraksi di lokasi melalui filem pertamanya Panglima Harimau Berantai. Filem arahan S Kadarisman itu diterbitan Merdeka Film Production, Hulu Klang pada 1969.

Sekalipun baru 20 hari kematian Tamam (meninggal pada 7 Julai jam 11.55 malam), tidak salah untuk kita berkongsi memori sebabnya antara Tamam dan penulis bagaikan satu famili. Keluarga Tamam yang asalnya menetap di Hulu Klang, kediamaan ibu bapa penulis tidak jauh dari situ iaitu di Kampung Klang Gate Baru. Hubungan kami kian akrab apabila ayahanda penulis (Allahyarham Salleh Ghani) mengambil Tamam berlakon dalam drama enam episod arahannya Tragedi Sri Mersing pada 1985 dengan membawakan watak Pak Malau.

Tragedi Sri Mersing terbitan Motion Picture Production milik Allan Seet adalah projek perintis pengswastaan drama RTM paling popular. Lakonan Tamam sebagai Pak Malau nyata tidak mengecewakan cuma intonasi suaranya sedikit keras jika dibandingkan dengan pendokong asal watak itu iaitu Shariff Medan (Allahyarham) dalam filem Sri Mersing terbitan Cathay Keris Production di Singapura pada 1961.

Ikutkan dalam siri drama itu, heronya Rahim Jailani sebagai Rumpin dan heroinnya pula Norlida Ahmad/Connie (Melati), didokong pula Zulkifli Zain (kini Datuk) sebagai Bentayan. Tapi bila ‘kredit’ nama pelakon disiarkan, nama Taman Idris menjadi kedua penting.

Yang ramai maklum mengenai Tamam, beliau ayah mentua usahawan baju Melayu; Den Wahab. Yang ramai tidak tahu mengenai Tamam, bakat seni beliau sebenarnya diwarisi dari bapanya, seniman Idris Hashim. Bagi yang terlepas pandang mana satu Idris Hashim, bolehlah tonton filem Merdeka Film Production kelibat Idris Hashim ada terutama dalam filem Keluarga 69 sebagai Pak Abu dan Nasib Do Re Mi.

Penulis bertuah kerana sempat menemuramah Idris Hashim di akhir hayatnya. Cuma hubungan Tamam dengan ayahnya itu tidak berapa mesra kerana selepas Tamam lahir pada 3 Mei 1939, dia dibela neneknya Fatimah Ahmad. Ayahnya aktif bangsawan sering merantau.

Selain Tamam, bakat seni keluarga Idris Hashim ini turut mengalir pada dua lagi anaknya Ahmad Idris dan Anuar Idris, bagaimanapun kedua-duanya cenderung pada muzik dengan orkestra RTM. Penulis sempat menjadi juri bersama Ahmad Idris (meninggal dunia pada Oktober 1998) dalam satu pertandingan nyanyian di Bukit Bintang Plaza hujung 1980-an.

Anehnya anak-anak Idris termasuk Tamam tidak pernah bersandarkan populariti ayah mereka untuk mencipta nama. Istimewanya mengenai Tamam Idris ini, jika kita melihat beliau berpencak silat dalam pelbagai filem aksi hujung 60-an dan awal 70-an antaranya Angkara, Pancha Indera Harimau Berantai, Pendekar Sakti, Darma Kesuma, Darah Panglima selain drama Pendekar Kundur.

Namun usah terperanjat pula, sewaktu penulis menemuramah beliau pada Disember 1998 di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, Tamam secara jujur memberitahu aksi silat yang dipersembahkan dalam pelbagai filem lakonannya itu adalah bukti bakat kurniaan ilahi kerana hakikatnya dia tidak pernah belajar silat. Ilmu itu diperoleh sejak budak hasil pengamatannya setiap kali melihat orang bersilat.

Menginjak remaja, Tamam bersama sepupunya Wan Nor pantang ada gelanggang baru akan pergi tengok. Jika pesilat di gelanggang itu buat satu dua pukulan, Tamam dan Wan Nor menokok jadi dua atau tiga pukulan, lalu tidak hairanlah Tamam boleh mengikut rentak pelbagai jenis silat sama ada perguruan sendeng, gayung, kuntau atau lincah. Ditakdirkan suatu persembahan pentas di Kajang, Tamam bersilat dengan Wan Harun (anak sedara Allahyarham Ahmad Nesfu) hujung 60-an disaksikan pula oleh S Kadarisman dan P Ramlee (Allahyarham).

Sebaik pementasan berakhir, S Kadarisman menemui Tamam dan bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Tamam yang tiada pekerjaan tetap ketika itu menerima pelawaan membintangi filem Panglima Harimau Berantai di samping aktor hebat Ed Osmera.

Bermulalah langkah Tamam dalam dunia perfileman, namun ikutkan bakat seninya mula diuji pada 1953 dengan menyertai bangsawan Sentosa Opera pimpinan Ali Shainan. Ikutkan juga Tamam tidak beria-ria mahu jadi pelakon, sebaliknya lebih cenderung ke sukan tinju dan pernah berguru dengan peninju Belanda, Golden Hope. Bagaimanapun Tamam tewas peringkat saringan bagi mewakili negara ke Sukan Asia.

Bakat seni Tamam mengalir pada anak perempuannya Norashikin (Nora) isteri Den Wahab dan Norlie bekas anggota kumpulan Primadona. Ketika filem Melayu mengalami zaman suram, Tamam mengalih haluan dengan menjadi peneroka Felda. Terlalu banyak memori mahu dikongsi perihal Tamam di ruangan terbatas ini. Cuma suatu hal yang ramai tidak menyedari, raut wajah Tamam nampak serius, tetapi jika ada sesuatu yang melucukan sebagaimana diceritakan Rahim Jailani, Tamam akan ketawa terbahak hingga orang di sekeliling turut ceria.

Al-Fatihah buatmu Allahyaham Bustamam Idris @ Tamam Idris.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 8:06 AM