GAMBAR kiri, Asmiah menunjukkan gambar anaknya Fandy yang gagal dihubungi sehingga kini. Tengah, Abd Rahim Jummas suami kepada Sutini Jamalung (kanan).
GAMBAR kiri, Asmiah menunjukkan gambar anaknya Fandy yang gagal dihubungi sehingga kini. Tengah, Abd Rahim Jummas suami kepada Sutini Jamalung (kanan).
Norasikin Daineh


Tawau: Nasib lima kru bot tunda yang gagal dikesan selepas bot tunda dan tongkang mereka ditemui di perairan Dent Heaven, Lahad Datu semalam masih belum diketahui malah ahli keluarga juga gagal menghubungi mereka.

Menurut Asmiah Lahapi, 50, anaknya Fandy Bakran, 26, gagal dihubungi oleh rakan dan ahli keluarga sejak tengah hari semalam walaupun telefon bimbitnya masih aktif.

"Kami di sini, cuba menghubunginya berulang kali dan telefon bimbit Fandy aktif tetapi tiada orang menjawabnya. Bagaimanapun, sehingga hari ini telefon bimbitnya sudah tidak dapat dihubungi.

"Saya berharap tiada apa-apa yang berlaku kepadanya dan empat lagi rakan sekerjanya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pukat, Tanjung Batu, di sini tadi.

Sementara itu, Sutini Jamalung, 54, berkata, sebelum kejadian itu suaminya, Abd Rahim Jummas, 62, ada menghubungi mereka dua kali iaitu waktu subuh dan kira-kira jam 8 pagi untuk bercakap dengan cucunya.

"Namun selepas kejadian, dia juga gagal dihubungi sehingga kini dan kami masih menunggu berita mengenai keadaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 11:42 AM