HAZAMI (kiri), Dayang dan Aizat.
HAZAMI (kiri), Dayang dan Aizat.
Rudy Imran Shamsudin


Penyanyi Dayang Nurfaizah bukan sahaja bekerja dengan komposer muda seperti Aizat Amdan untuk album terbarunya, malah bekerjasama semula dengan rakan lamanya, Hazami.

Dayang cuba memperkenalkan konsep balada yang berbeza berbanding apa yang pernah diketengahkan dulu. Dayang juga merancang bekerja dengan Aubrey Suwito dan bekerjasama dengan Ajai.

Melihat senarai komposer dan penerbit dalam pembikinan albumnya yang dijadualkan untuk pengedaran akhir tahun ini atau awal tahun depan, pasti peminat setianya tidak sabar-sabar mendengar keseluruhan lagu ditampil­kan.

Sempena sambutan Syawal, Selebriti menemukan Dayang bersama Aizat dan Hazami bagi berkongsi cerita bagaimana situasi apabila mereka dipertemukan untuk pembikinan album terbaru ini.

Kata Dayang, dia sangat teruja dapat bekerjasama lagi dengan Hazami memandangkan sebelum ini pernah bersama menghasilkan lagu Coretan Cinta dalam album Dayang Sayang Kamu.

“Aizat pula saya sudah lama mahu bekerja dan mendendangkan lagu yang dia hasilkan. Malah sudah lama saya minta lagu dia tetapi tidak ada kesempatan hing­galah bertanya sekali lagi apabila hendak menghasilkan album terbaru.

“Saya faham orang yang seninya tinggi ini apabila berkarya, tidak boleh dipaksa. Bagaimanapun, apabila dapat saja lagu daripada dia, saya benar-benar menggemarinya. Ia masih bertunjangkan balada tetapi muziknya sangat ringan. Saya berasakan berbaloi menunggu lama untuk mendapatkan lagu daripada Aizat,” katanya.

Jelas Dayang, walaupun tidak pernah bekerja dengan Aizat sebelum ini, sebaik mendapat karya diberikan komposer muda itu, dia berasakan kedekatannya.

“Aizat seakan-akan faham saya memang mencari karya balada tetapi memiliki kelainan. Sebaik dapat saja lagunya saya terus rasa ‘ngam’.

“Seperkara lagi yang menarik mengenai lagu Aizat ini, sekali dengar sudah tahu itu karyanya,” katanya.

Sementara lagu yang Hazami hasilkan untuknya, Dayang akui sangat menepati kehendaknya dan memiliki kekuatan melodi.

“Sebaik saja mahu menghasilkan album berkonsepkan balada ini, perkara pertama terbayang di kepala adalah Hazami.

“Satu lagi perkara, memandangkan saya dan Hazami mengenali antara satu sama lain dan pernah bekerjasama sebelum ini, ia memudahkan kami bekerja.

“Apabila kita pernah bekerja dan kenal, ia memudahkan berkomunikasi. Kalau ada pandangan atau perbincangan perlu dilakukan terhadap lagu mahu dirakam, ia menjadi mudah,” katanya.

Saling bersaing

Selaku komposer, sememangnya mereka bertiga saling bergantung tetapi sebagai penyanyi, mereka saling bersaing.

Tambah pula mereka antara yang terbaik dalam industri muzik tempatan dan muncul dengan single baru. Aizat terlebih dulu tampil dengan Bagai Hidup Semula, Hazami yang berehat panjang kembali dengan single Cintai Dia manakala Dayang kini ligat mempromosikan lagu Lelaki Teragung.

Kata Hazami, kerjasama dengan Dayang sangat bagus dan menjadikan industri bertambah berkembang dan meriah.

“Saya dan Dayang sudah lama kenal, jadi untuk bekerjasama itu mudah. Cuma kesibukan membataskan kami. Dayang sudah lama minta lagu daripada saya malah sebelum single Di Pintu Syurga dirakamkan lagi. Mujur waktu itu, Di Pintu Syurga mengangkat kembali nama Dayang.

“Sewaktu saya menyerahkan lagu Takdir yang bakal dimuatkan dalam albumnya, dia menyatakan minatnya terhadap karya saya.

“Satu perkara mengenai Dayang, bekerja dengannya mudah kerana dia banyak idea dan berterus terang. Saya sebagai komposer mudah untuk memahami dan memenuhi apa yang dimahukan,” katanya.

Mengenai bersaing sesama sendiri, kata Hazami, apabila mereka bertiga kira-kira serentak muncul dengan single, ia bukan masalah. Malah lebih positif berbanding negatif. Secara tidak langsung memberi pendengar banyak pilihan.

“Walaupun Dayang keluar dengan lagu balada, pada sudut persembahan vokal sahaja ternyata berbeza kerana dia wanita dan kami lelaki. Kami datang daripada generasi berbeza dan antara kami bertiga, Dayang paling senior,” katanya.

Aizat berkata, kerjasama bersama Dayang dapat dilaksanakan memandangkan dia bernaung bawah pengurusan dan pengedaran karya yang sama.

Katanya, dia menyifatkan kerjasama ini sesuatu yang sudah diatur Allah dan tepat pada masa.

“Sepanjang bekerja sama-sama, saya menyedari Dayang mempunyai keperibadian yang cantik luar dan dalam. Walaupun dia mempunyai nama besar, Dayang amat profesional, merendah diri, kelakar dan disenangi.

“Sebagai penyanyi, Dayang tidak sekadar menyanyikan lagu yang diberikan, malah tahu apa yang dia mahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:05 AM