Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Tiket menyaksikan persembahan penyanyi popular Dayang Nurfaizah sempena pelancaran album terbarunya pada 18 April ini di MATIC, Jalan Ampang, di sini, terjual lebih 50 peratus dalam masa dua hari sejak semalam.

Pengarah Urusan Indigital Music, Poji Samad berkata, penjualan tiket itu di luar jangkaan walaupun pihaknya belum memulakan aktiviti promosi.

"Saya tak menyangka sambutan luar biasa sebegini sehingga tak putus menerima panggilan daripada peminat yang membuat tempahan. Mungkin disebabkan Dayang sudah enam tahun tak muncul dengan album baru membuatkan masing-masing teruja.

“Apa yang pasti, persembahan kali ini sangat istimewa. Dayang bakal menyanyikan tujuh lagu baru daripada album itu termasuk lagu lama. Selain itu, peminat yang hadir juga boleh beramah mesra dengan Dayang," katanya kepada Harian Metro.

Poji berkata, ada peminatnya sanggup pulang dari London semata-mata untuk menyaksikan persembahan Dayang, malah ada juga meminta untuk melanjutkan hari persembahan.

"Kalau ikutkan memang nak tambah hari persembahan tapi Dayang sudah terikat dengan komitmen lain. Insya-Allah jika persembahan ini berjaya mungkin kita merancang untuk mengadakan konsert pula," katanya.

Tiket menyaksikan persembahan Dayang dijual pada harga RM159 termasuk album baru.

Album studio kesembilan Dayang yang belum diberi judul itu bakal dilancarkan pada 15 April ini menampilkan barisan komposer seperti Aubrey Suwito, Aizat Amdan, Hazami, Ajai, Audi Mok dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 7:55 PM