PASUKAN MRSM Gemencheh muncul naib johan.
PASUKAN MRSM Gemencheh muncul naib johan.

SMK Puteri (SMKP) Seremban muncul juara Pertandingan Kuiz Sains Kebangsaan (NSC) peringkat Negeri Sembilan 2016 selepas menewaskan empat sekolah lain, baru-baru ini.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh pula muncul naib juara pada pertandingan itu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.

Pertandingan membabitkan pelajar tingkatan empat aliran sains itu anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan ExxonMobil.

Pada peringkat awal 30 sekolah dari negeri ini mengambil bahagian, sebelum empat mara ke peringkat akhir iaitu MRSM Gemencheh, SM Sains Tuanku Munawir, SMK King George V dan SMK St Paul.

Penyertaan secara berkumpulan iaitu tiga peserta dan seorang guru mentor, serta setiap kumpulan akan bermula dengan kuiz dalam talian pada peringkat saringan sebelum ke peringkat separuh akhir.

Wakil SMKP Siti Hajar Muhammad Najib, 16, tidak menyangka pasukannya mampu menjuarai pertandingan itu kerana saingan daripada finalis lain begitu hebat.

dia mengakui pertandingan itu menguji minda dan kreativiti kerana membabitkan soalan Sains dan Matematik tingkatan empat dan lima.

“Setiap kumpulan perlu menjawab soalan tanpa menggunakan bahan bantuan seperti kalkulator.

“Kami tidak sangka dapat memenangi pertandingan ini. Saya mewakili rakan lain gembira dengan kejayaan ini kerana dapat mengharumkan nama sekolah.

“Kejayaan ini sudah tentu hasil kesungguhan dan komitmen tinggi semua yang terbabit,” katanya.

Muhammad Safwan Mohd Saparina, 16, dari MRSM Gemencheh menyifatkan pertandingan itu begitu mencabar kerana soalannya menguji minda termasuk subjek tingkatan lima.

“Bagaimanapun, pengalaman bertanding sejak dari tingkatan dua memberi inspirasi dan semangat kepada kami untuk memberi cabaran,” katanya.

Ketua juri yang juga Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi USIM Prof Madya Dr Che Wan Zanariah

Che Wan Ngah berkata, semua peserta menunjukkan kemahiran membanggakan.

Katanya, SMKP akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 2:22 PM