MURID Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Kuching. FOTO ihsan SKGR
MURID Tahun Satu pada hari pertama persekolahan di Kuching. FOTO ihsan SKGR
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 36,341 murid memulakan persekolahan Tahun Satu di seluruh Sarawak, hari ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad berkata, mereka adalah antara 238,183 murid yang belajar di 1,265 sekolah rendah seluruh negeri.

Beliau berkata, secara keseluruhannya 1,458 sekolah beroperasi di Sarawak dengan 193 adalah sekolah menengah.

“Seramai 185,779 pelajar pula meneruskan persekolahan peringkat menengah dari peringkat kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima.

“Jumlah itu termasuk 39,993 pelajar yang baru memasuki Tingkatan Satu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berhubung pendidikan pra-sekolah pula, Azhar berkata, 22,959 kanak-kanak mendaftar di 1,521 kelas di seluruh negeri.

“Kelas prasekolah itu merangkumi 1,308 kelas di Sekolah Kebangsaan termasuk empat di rumah panjang dan 183 kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

“Dua kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat kelas di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh kelas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 10:46 AM