PENGUNJUNG tertarik dengan sikap mesra sukarelawan.
PENGUNJUNG tertarik dengan sikap mesra sukarelawan.
Nurul Husna Mahmud


Mahu merapatkan jurang pendidikan luar bandar dan bandar misi jelas Small Changes menerusi program kempen Seeds of Deeds dilancarkan tahun lalu.

Tidak hairanlah program memperkasakan pendidikan sekolah luar bandar di negeri tertentu seperti Kedah, Perak serta Kelantan menerusi kem motivasi perdana membabitkan 2,000 pelajar giat dilaksanakan badan sukarela itu.

Selain ahli aktif, Small Changes turut disokong sukarelawan terdiri daripada penuntut universiti tempatan serta asing dalam melaksanakan program kem ilmu berlangsung bulan ini.

Perlu dana RM100,000

Menurut Presiden Small Changes Sharif Ahmad Sharif Hashim, 30, kempen kutipan dana Seeds of Deeds berlangsung sejak awal tahun lagi. Sasaran tinggi diletakkan agar dapat merealisasikan impian menaja kem motivasi bagi 2,000 yang bakal berlangsung di tiga negeri.

“Kempen awal kita lakukan bermula di medium laman sosial dengan membuka penajaan RM50 untuk setiap pelajar dan jumlah terkumpul ketika itu mencecah hampir RM50,000. Cadangan melaksanakan kempen terbuka di NU Sentral, kita tidak saja mahu meuar-uarkan mengenai program tetapi ingin memperkenalkan peranan atau kewujudan NGO Small Changes juga.

“Manakala program Small Changes diadakan di NU Sentral kali ini menggunakan pendekatan terbuka apabila mengutip derma orang ramai dengan sebarang jumlah di samping mereka dapat bergambar dengan karakter Troop popular dalam filem Star Wars.

“Kita berharap dapat mengumpul jumlah dana disasarkan iaitu RM100,000 yang mana dapat menjayakan tiga kem perdana di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Kelantan bermula penghujung bulan ini,” katanya mengalu-alukan sumbangan perseorang mahupun agensi korporat.

Platform menyumbang kepada masyarakat

Sukarelawan merangkap Pengurus Projek Kempen Dana Seeds of Deeds Muhammad Nadzmi Mazlan berkata, dia tertarik menyertai komuniti sosial itu sebaik mengikuti rakan menjayakan kem motivasi di Kedah.

“Saya tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti luar terutama sukarelawan kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menamatkan pengajian di British Malaysia Institute dalam Diploma Kejuruteraan Teknologi dan Komunikasi.

“Cuma hujung tahun lalu apabila melihat rakan melakukan aktiviti sukarelawan bersama kanak-kanak, saya tertarik dan kini saya lebih aktif kerana mempunyai masa terluang. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat, tujuan saya mengikuti program ini ialah untuk mendapat kenalan baru yang saya fikir baik.

“Dalam komuniti bukan saja sukarelawan terdiri universiti tempatan sebaliknya ramai penuntut universiti asing melakukan program amal ini sebaik mereka pulang. Itu membantu memberi dimensi berbeza kepada golongan sasaran iaitu kanak-kanak tidak berkemampuan mendapat inspirasi menerusi pendidikan,” katanya.

Gimik kempen kreatif

Seorang penyumbang ditemui, Rabiatul Adawiah Roslan berkata, dia tertarik dengan kempen dianjurkan Small Changes yang lebih interaktif dan tidak saja menarik golongan dewasa malah kanak-kanak untuk turut serta dalam kempen mereka.

“Saya lihat gimik kempen menampilkan karakter kostum tidak saja memberi kelainan dalam menarik orang ramai menyumbang. Saya kebetulan datang ke pusat beli-belah ini untuk membuat persiapan raya, namun turun atas permintaan anak yang tertarik untuk pergi ke lokasi kempen.

“Lihat peraih dana tampil bersama penggaya kostum watak Star Wars, Stormtrooper dan Scout Trooper Armour, saya rasa ia berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Malah sukarelawan begitu mesra dan sabar memberi penerangan kepada orang ramai membuatkan pengunjung selesa selain dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Jarang saya dengar NGO membuat pendekatan amal untuk program khusus pendidikan. Jadi saya berharap sumbangan kecil ini memberi manfaat untuk kanak-kanak tidak berkemampuan menikmati kem pendidikan seperti anak di bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:02 AM