AKTIVITI berkumpulan antara pendekatan dalam modul.
AKTIVITI berkumpulan antara pendekatan dalam modul.
MODUL kem ini dilaksanakan dengan cara interaktif bagi menarik minat peserta.
MODUL kem ini dilaksanakan dengan cara interaktif bagi menarik minat peserta.
FASILILATOR dan peserta Kem Motivasi Projek Kalsom 2017.
FASILILATOR dan peserta Kem Motivasi Projek Kalsom 2017.
Mohd Amin Jalil


Kesibukan dengan pelbagai tugas sebagai mahasiswa di universiti dalam dan luar negara tidak menghalang 30 penuntut melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat apabila menjayakan Kem Motivasi Projek Kalsom 2017 (KMPK 2017), baru-baru ini.

Mereka bertindak sebagai sukarelawan membabitkan diri dalam program itu yang bertugas sebagai fasilitator dan jawatankuasa pelaksana KMPK 2017.

Seramai 100 pelajar tingkatan empat dari sekitar Rembau, Negeri Sembilan dan Kuala Langat, Selangor dibimbing menguasai pertuturan dalam bahasa Inggeris selain membina keyakinan diri pada program yang berlangsung selama seminggu di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Rembau di Kampung Pilin.

Program itu adalah kesinambungan kem motivasi tahun lalu yang masih mengekalkan empat teras utama iaitu memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dan memantapkan kemahiran akademik serta bukan akademik kepada peserta.

Presiden Kelab Belia Kalsom (KBK) yang menganjurkan program, Nur Amalina Mohd Taib berkata, pelajar yang terpilih dari keluarga kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, tetapi mempunyai potensi untuk mencapai prestasi cemerlang dalam pelajaran.

Katanya, 30 fasilitator dari universiti dalam dan luar negara termasuk 10 penuntut dari University of Bristol, United Kingdom menjayakan kem berkenaan.

“Kem ini menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dengan pendedahan berkenaan peluang pendidikan selepas sekolah menengah dan semangat ‘Kalsom’ sebagai tunjang utama program. Walaupun singkat tapi amat berkesan kerana kami rangka modul interaktif yang membolehkan setiap peserta mudah memahami.

“Ini jelas, jika pada awalnya pelajar tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi selepas enam hari di sini, saya bangga ada antara mereka berdiri di hadapan rakan dan petah berhujah.

“Ini program pertama daripada tiga yang dirancang untuk kami laksanakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Nur Amalina berkata, aktiviti dijalankan bercirikan akademik selain merangkumi aspek kemahiran selepas sekolah dan pemantapan kendiri pelajar.

Menurutnya, terdapat empat modul utama yang menjadi inti pati pengisian KMPK 2017 antaranya modul Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan alam selepas persekolahan.

“Ia memberi pendedahan berkenaan peluang pendidikan selepas sekolah menengah kepada pelajar dan menerapkan semangat Kalsom dalam kalangan setiap individu terbabit.

“Kem ini juga membantu mempersiapkan diri peserta sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun depan,” katanya.

Dania Qistina Rosmaini, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Rembau akui teruja menyertai program itu kerana banyak yang dapat dipelajarinya terutama kaedah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik selain membina keyakinan diri.

“Melalui bimbingan fasililator berkemahiran, saya kini lebih yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Malah, program ini juga mampu membantu saya meningkatkan pencapaian dalam subjek bahasa Inggeris pada SPM tahun depan,” katanya.

Akmal Haiqal Amir, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau, juga mengakui kelemahannya dalam bahasa Inggeris dapat diatasi melalui penyertaannya itu.

“Berbeza dengan kem motivasi yang pernah saya ikuti sebelum ini, kem ini menitikberatkan pembangunan akademik dan bukan akademik apabila pelajar diberikan inspirasi untuk berjaya,” katanya.

Projek Kalsom bermula pada 1993 dikelolakan sekumpulan pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang tertarik dengan kisah kepayahan hidup dilalui seorang ibu tunggal, Kelthum Abdullah dari Kelantan.

Kelthum dikatakan bekerja keras menyara kehidupan dan berusaha mengumpul dana bagi membiayai kos pendidikan anaknya.

Pada 2011, Projek Kalsom atau sebelumnya dipanggil The Kalsom Movement didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan sebagai KBK serta diiktiraf Rakan Muda.

Ahli KBK menggunakan cuti semester musim panas bagi menabur bakti dan menjayakan Projek Kalsom itu untuk memastikan pelajar sekolah menengah luar bandar yang kurang bernasib baik mencapai kejayaan.

Dalam pada itu Nur Amalina berkata, tahun ini Projek Kalsom 23 disasarkan untuk memberi impak positif kepada golongan sasaran untuk sekurang-kurangnya 300 pelajar luar bandar akan dibimbing dalam program berkenaan.

“Modul dimulakan dengan aktiviti mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar dan seterusnya memupuk keyakinan diri untuk memastikan mereka mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran dan kerjaya selepas sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 1:29 PM