MEMOHON maaf daripada suami tercinta.
MEMOHON maaf daripada suami tercinta.
BARU pulang dari berbulan madu di Australia.
BARU pulang dari berbulan madu di Australia.
Ramlah Zainal


Inai di jari masih merah kerana mereka baru saja diraikan sebagai Raja Sehari tanggal 14 Mei lalu.

Pasangan penyanyi popular Hafiz Suip, 25, dan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah, 22, baru saja kembali dari percutian bulan madu di Sydney dan Gold Coast, Australia selama lapan hari, baru-baru ini.

Hafiz yang kini sudah bergelar suami orang berkata, dia masih menyesuaikan diri dengan fasa baru dalam hidupnya itu.

“Maklumlah, kami baru lebih sebulan bergelar suami isteri. Sudah pasti kami memerlukan sedikit masa kerana tanggung jawab sebagai suami memang berat. Ketika bujang, saya hanya memikirkan diri sendiri, tetapi apabila sudah berkahwin, keperluan dan komitmen bertambah,” katanya.

Apa yang pasti, Aidilfitri yang disambut Rabu lalu pastinya paling bermakna berikutan ‘status’ baru mereka itu.

Selain menyambutnya dengan sederhana, pasangan ini beruntung kerana tidak perlu beraya mengikut sistem giliran kerana Hafiz dan isteri sama-sama berasal dari Kuching, Sarawak.

“Kampung kami juga berhampiran. Saya dari Kampung Semariang dan Effy pula Kampung Laroskim. Pada hari raya pertama lalu, saya beraya di rumah keluarga Effy sebelum beraya dengan keluarga saya pula.

Hafiz berkata, dia begitu menggemari sajian istimewa rendang daging minang daripada air tangan ibu mentuanya yang dimakan bersama ketupat dan lemang. Sambutan raya kali ini lebih meriah kerana ia gabungan dua keluarga pula.

“Sambutan Aidilfitri lalu begitu meriah apabila kedua-dua keluarga berkumpul. Yang seronoknya kami beraya beramai-ramai ke rumah nenek sebelah bapa dan kami mengenakan baju Melayu dan baju kurung dari pagi hingga ke petang,” katanya.

Sementara itu, kata Effy pula, dia bersama keluarganya mengadakan rumah terbuka pada hari raya kedua lalu dan sudah menjadi tradisi keluarganya.

Ia juga menjadi medan buat sanak-saudara berkumpul dan mengeratkan silaturrahim.

Kembali selepas berehat akibat ‘slip disc’

Selepas menyepi kerana masalah kesihatan, kini Hafiz kembali untuk merancakkan bidang hiburan tanah air.

Menurut Hafiz, dia terpaksa berehat seketika kerana menjalani rawatan fisioterapi selama setahun akibat kecederaan pada bahagian tulang belakangnya (slip disc) pada Januari lalu.

“Alhamdulillah, tahap kesihatan semakin baik dan saya juga perlu lebih berhati-hati selepas ini dan tidak mengangkat benda berat. Selepas tujuh bulan berehat atas nasihat doktor, saya juga sudah bersedia untuk kembali aktif,” katanya.

Terbaru, Hafiz muncul dengan single duet bersama Misha Omar berjudul Terima Ku Seadanya.

“Saya pilih untuk berduet dengan Misha kerana dia antara penyanyi idola sejak dulu. Single ini juga sudah mula dimainkan di stesen radio tempatan. Selain itu, single kedua pula berjudul Andai ciptaan Zul 2 by 2 yang ditujukan khas buat isteri,” katanya.

Selain single, Hafiz juga sibuk menyiapkan bingkisan album penuh sempena tujuh tahun pembabitannya dalam industri muzik tanah air.

“Album ini juga bakal mendapat khidmat barisan komposer terkenal seperti Datuk M Nasir, Ajai, Helen Yap dan ramai lagi. Ia dijangka siap pada awal tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:02 AM