Caption<HAFIZ Suip. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Caption<HAFIZ Suip. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Georgie Joseph


PENYANYI Hafiz Suip mengakui perlu akur dan reda menerima rawatan berterusan berikutan masalah tergelincir tulang belakang (slipped disc) dialaminya.

Hafiz, 28, berkata tiada apa yang boleh dilakukannya selain menjalani sesi rawatan itu beberapa kali dalam seminggu.

“Kecederaan disebabkan ‘slipped disc’ memang tiada penawarnya. Disebabkan itulah saya kena pergi menjalani fisioterapi dalam tiga kali seminggu untuk mengurangkan kesakitan.

“Rawatan itu memang akan berpanjangan dan saya terpaksa ‘hadap’ saja,” katanya sewaktu ditemui pada sesi uji bakat Mentor 7 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, Hafiz mendedahkan dia dinasihatkan doktor agar tidak mengangkat dan melakukan kerja berat termasuk mendukung anaknya, Muhammad Riyadh Zafri yang berusia sembilan bulan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano berkenaan mula mengalami kecederaan tulang belakang sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui berdebar untuk menjadi mentor dalam program realiti nyanyian terbabit, namun sudah melakukan persiapan.

“Saya sangat berharap akan jumpa protege yang benar-benar berkualiti dan hanya tinggal digilap saja lagi. Syukur, saya sudah ada pasukan untuk membantu melancarkan sesi mempersiapkan protege saya nanti.

“Saya juga ada bertanya petua dan meminta bantuan daripada rakan artis yang pernah menjadi mentor termasuklah Hazama, Akim dan Misha Omar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 7:47 PM