SAFAWI (tengah) tak sangka mampu menjaringkan gol bertaraf dunia.
SAFAWI (tengah) tak sangka mampu menjaringkan gol bertaraf dunia.
Firdaus Hashim


MIRIP jaringan Robin Van Persie.

Itu yang dikatakan peminat bola sepak apabila melihat jaringan penyerang skuad bawah 22 (B-22) tahun negara Safawi Rasid menerusi tendangan voli kaki kidalnya pada perlawanan menentang Brunei, semalam, hampir menyerupai jaringan bekas penyerang Manchester United, Robin Van Persie ketika bertemu Aston Villa pada musim 2013.

Malah, pemain Johor Darul Ta’zim itu sendiri tidak menyangka mampu melakukan aksi kelas dunia itu selepas menerima hantaran silang cantik dari rakan sepasukan, Matthew Davies di sebelah kanan.

“Teknik gol itu agak susah, tetapi Alhamdulillah, dapat juga saya buat untuk gol pertama pasukan kita,” katanya.

Pada aksi pertama kumpulan A itu, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan cantik Safawi sebelum penyerang pelawat, Mohamed Zulkhairy Hady Razali menyamakan kedudukan selang lapan minit kemudian.

Adam Nor Azlin muncul wira skuad muda negara selepas menanduk masuk gol kemenangan negara pada minit ke-60 hasil sepakan sudut Safawi.

Mengulas mengenai kemenangan tipis itu, dia mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama dalam memperkemaskan sentuhan penyudah di depan pintu gol lawan.

“Persembahan saya memang kurang bagus kerana kerap hilang bola ketika cuba menyerang kubu Brunei dan saya perlu perbaiki kelemahan itu sebelum pasukan kita turun menentang Singapura, esok.

“Saya akui ada banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan menentang Brunei tetapi mungkin tiada rezeki untuk saya menambah lebih banyak gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:32 PM