Stoke-on-Trent, England: Louis van Gaal mencabar pemain Manchester United supaya bertindak lebih hebat di gelanggang lawan seperti rekod baik di laman sendiri menjelang kunjungan getir ke Stoke City, malam ini.

Sejak tumpas di laman sendiri kepada Swansea City pada hari pembukaan musim, United berjaya mengubah Old Trafford menjadi kubu yang sukar ditembusi, menang tujuh dan seri sekali daripada lapan perlawanan berikutnya.

Namun mereka hanya menang dua kali di tempat lawan, ke atas Arsenal dan Southampton dan Van Gaal mengakui United bernasib baik lantas pengendali dari Belanda itu mahukan peningkatan pada 2015.

“Apabila saya berkata setiap minggu kami meningkat, maka kami perlu buktikannya menentang Stoke,” jelas pengurus United itu ketika pasukannya memulakan tahun baru di tangga ketiga carta.

“Kami perlu melakukannya pada perlawanan di laman lawan. Kami perlu dominasi aksi di gelanggang lawan kerana kami menang semua pertemuan di laman sendiri kecuali Swansea pada perlawanan pertama musim.

“Pada perlawanan di laman lawan, kami hanya mengatasi Arsenal dan Southampton, tapi hakikatnya kami bernasib baik.

“Kami mesti mendominasi aksi di tempat lawan dan saya mendapat tahu daripada (penolong jurulatih) Ryan (Giggs) bahawa Stoke amat sukar. Kami perlu buktikannya sekalipun sukar. Mungkin kami boleh lakukannya.”

Daripada senarai panjang kecederaan, United memiliki pertahanan Chris Smalling, Luke Shaw dan Rafael da Silva yang kembali cergas sepenuhnya, namun pemain sayap Angel di Maria masih tidak boleh beraksi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:27 AM