AP

Bordeaux, Perancis: Kegigihan dan tangisan yang dituntut jurulatih Itali Antonio Conte (gambar) sepanjang dua tahun mengemudi skuad Itali menjadi kenyataan apabila kempen Azzurri berakhir di suku akhir Kejohanan Eropah.

Conte, yang meninggalkan Itali untuk menyertai Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris, berjaya dalam menterjemahkan keghairahan dan keinginan untuk berjaya kepada pemainnya. Dan kedua-dua elemen itu dipamerkan ketika Itali tewas menerusi sepakan penalti kepada juara dunia Jerman, kelmarin.

Kapten Gianluigi Buffon dilihat menangis ketika meninggalkan padang manakala seorang lagi pemain berpengalaman Andrea Barzagli juga dalam tangisan sewaktu memberikan wawancara.

“Sungguh mengecewakan, kerana kami memberikan segala-galanya,” kata Barzagli sedih. “Malangnya, kami tewas dan tiada apa lagi yang tinggal. Jika anda tersingkir, hanya kekecewaan yang tinggal.

“Dan dalam beberapa tahun lagi, tiada orang yang akan ingat kepada pasukan Itali ini yang memberikan segala-galanya.”

Tetapi segala-galanya bergantung kepada bagaimana persembahan Itali di bawah jurulatih baru Giampiero Ventura.

Jurulatih berusia 68 tahun itu masih belum menang apa-apa, selain daripada takhta divisyen ketiga sepanjang 35 tahun kerjaya pengurusannya.

Kerja Ventura akan bermula apabila pemain bertemu semula untuk aksi pertama Itali bagi kelayakan Piala Dunia, menentang Israel pada 5 September.

Itali juga akan berdepan Sepanyol, Albania, Macedonia dan Liechtenstein dalam Kumpulan G.

Bagaimanapun masa depan Azzurri tampak cerah selepas mereka kini semakin yakin. Tapi jika Itali gagal menyerlah, Conte - yang meninggalkan skuad kebangsaan kerana rindukan kehidupan menguruskan kelab - memberi gambaran beliau mungkin kembali mengendalikan pasukan negaranya.

“Saya harap semuanya berjalan lancar untuk pasukan kebangsaan dan Ventura,” kata Conte. “Saya yakin dengan kerja yang sudah kami lakukan. Kami sudah mencapai objektif di Kejohanan Eropah ini kerana Itali kini semakin dihormati selepas dapat menyaingi juara dunia.

“Saya harap ini bukannya selamat tinggal, tapi Arrivederci.’” - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 8:47 AM