VENTURA (kiri) yakin serap cabaran Israel.
VENTURA (kiri) yakin serap cabaran Israel.

Haifa, Israel: Jurulatih baru Itali Giampiero Ventura mengakui tidak bimbang dengan kekalahan kepada Perancis di laman sendiri menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia di Israel, awal pagi esok.

Juara dunia 2006 itu tewas 1-3 di Bari Khamis lalu namun Ventura yang mengambil alih kerusi panas Azzurri daripada jurulatih Chelsea Antonio Conte, tidak menjangkakan ujian getir di Haifa.

“Dengan penuh rasa hormat, Israel bukannya Perancis. Kami akan menganalisis perlawanan, melihat beberapa kesilapan yang boleh dielak dan saya pasti kami akan memberikan yang terbaik,” kata Ventura, 68.

Begitupun wujud kebimbangan dalam kem Itali apabila penyerang Graziano Pelle, yang meledak gol ke atas Perancis menegaskan “Kami perlu tewaskan Israel, tiada alasan.”

Itali dijangka bertarung dengan Sepanyol untuk kedudukan teratas Kumpulan G bagi memastikan layak secara automatik.

Pemain tengah Marco Verratti, yang terlepas Euro 2016 akibat kecederaan berkata, Itali akan memberi tentangan.

“Kami diletakkan dalam kumpulan sukar tapi jika kami lakukan apa yang boleh, maka kami berpeluang mara ke peringkat seterusnya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 1:00 PM