ADURIZ (kiri) jaring gol tunggal Sepanyol.
ADURIZ (kiri) jaring gol tunggal Sepanyol.

Milan: Penyerang Itali Lorenzo Insigne menamatkan rekod tidak dibolosi enam perlawanan David De Gea di pintu gol Sepanyol selepas seri 1-1 pada aksi persahabatan awal pagi semalam yang mencetus harapan buat peminat Azzurri bagi Euro 2016 di Perancis.

Sepanyol, yang membelasah Itali 4-0 pada final Kejohanan Eropah 2012, menang tujuh perlawanan berturut-turut dengan penjaga gol United De Gea tidak dibolosi sebarang gol dalam enam perlawanan terakhir.

Namun anak buah Vicente Del Bosque kurang kreativiti dan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah gol pada babak pertama buat kali pertama sejak menentang Belarus pada kelayakan Piala Dunia tiga tahun lalu.

Jurulatih Itali Antonio Conte menurunkan barisan eksperimen 3-4-3 namun selepas beberapa masalah awal jurulatih berusia 46 tahun itu, yang akan bersara selepas pusingan akhir di Perancis pada musim panas ini, pasti teruja.

Insigne menggantikan penyerang Inter Milan Eder selepas rehat dan menamatkan satu gerakan hebat dengan menampan masuk melepasi De Gea pada minit ke-67 namun kegembiraan Itali terbatas.

Hanya tiga minit kemudian penyerang Athletic Bilbao berusia 35 tahun Aritz Aduriz merembat masuk dari jarak dekat selepas Gianluigi Buffon menumbuk tandukan rakan sepasukan Juventus Alvaro Morata berikutan sepakan percuma Cesc Fabregas.

Conte berkata: “Saya amat berpuas hati dengan persembahan mereka, terutama apabila kami mengubah formasi taktikal.

“Mereka banyak mempraktikkan apa yang kami pelajari dalam latihan akhir-akhir ini. Saya tidak mahu bercakap mengenai objektif bagi Euro 2016. Apa yang kami mahukan mereka memberikan segala-galanya dan tidak meninggalkan padang dengan kesalan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:10 AM