PANG beramah mesra bersama anak yatim Persatuan Insani Darul Takzim pada majlis berbuka puasa Coolblog.
PANG beramah mesra bersama anak yatim Persatuan Insani Darul Takzim pada majlis berbuka puasa Coolblog.
Norazimah Narudin

Johor Bahru: Coolblog Desert Sdn Bhd (Coolblog) mengukuhkan kedudukannya sebagai minuman sejuk pilihan nombor satu negara dengan menganjurkan program melahirkan usahawan dalam perniagaan berkenaan.

Pengurus Besarnya, Pang Wei Chong berkata, menerusi Program Keusahawanan Bumiputera Coolblog (CBE) individu yang berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan diberi latihan sepenuhnya selama enam bulan di kios terpilih.

Katanya, pihaknya bekerjasama bersama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menganjurkan program itu dari segi pengeluaran modal serta pinjaman kepada yang mengikuti program.

“Dalam latihan enam bulan ini, kami bukan saja mengajar cara membuat Coolblog sebaliknya memberi ilmu selok-belok perniagaan, bagaimana menguruskan perniagaan sekiranya bermasalah.

“Kami mahu mereka yang tamat latihan dapat berdikari menguruskan kios seterusnya berkeupayaan memajukan perniagaan ini.” katanya dalam majlis berbuka puasa bersama Anak-Anak Yatim Ar-Rayyan di Taman Sri Amar di sini.

Turut hadir Pengerusi Anak-Anak Yatim Ar-Rayyan Muhamad Halimi Kolan.

Pang berkata, dalam masa sama pihaknya menyasarkan pembukaan 10 cawangan baharu bagi tempoh dua tahun di Jakarta, Indonesia berikutan lokasi strategik, selain melihat negara itu antara francais induk berpotensi tinggi bagi perniagaan itu.

Katanya, sejak beroperasi sembilan tahun lalu, 300 perisa dicipta dan dijual di 380 cawangan termasuk tujuh di Surabaya, Indonesia.

“Kelebihan kami ialah produk ini mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara tidak langsung mempunyai kelebihan memenuhi permintaan pelanggan terutama umat Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 7:21 AM